malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
BERSATU menipu di siang hari, kata Puad
Diterbitkan:  Aug 14, 2017 6:17 PM
Dikemaskini: 1:36 PM
ADS

Umno menganggap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak berlaku jujur semasa menganjurkan forum Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam semalam.

Malah, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Dr Puad Zarkashi menganggap BERSATU melakukan penipuan di siang hari melalui forum berkenaan.

"Kalau menganjur program pun mahu menipu rakyat di siang hari, sudah pasti mereka akan menjadi pemerintah yang suka menipu rakyat apabila berkuasa nanti," katanya merujuk kepada majlis diadakan semalam yang turut memaparkan wajah Datuk Seri Najib Razak.

Kata Puad, memang diketahui Najib tidak akan hadir kerana tiada jawapan hitam putih diterima daripada pihak perdana menteri.

"Kenapa masih mahu mempamerkan nama dan gambar Najib sebagai panel yang akan hadir? Tidakkah itu menipu rakyat namanya? Di mana kejujuran BERSATU?" katanya.

Lebih memalukan, kata Puad, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat parti gagal menasihati anak muda parti itu untuk belajar bersikap jujur.

"Kalau orang tua berjawatan penasihat parti pun mengajar muridnya kencing berlari maka apa lagi mahu diharap kepada BERSATU yang jumlah ahlinya masih dirahsiakan?

"Dalam bahasa mudah, akhirnya Dr Mahathir dibayar cash. Beliau dimalukan kerana kerusi dan selipar berterbangan. Nothing To Hide bertukar kepada Dr Mahathir lari mencari hiding daripada kerusi dan selipar yang berterbangan itu," katanya.

Kata Puad, sebenarnya motif Nothing To Hide 2.0 sama dengan Nothing To Hide pertama yang dianjurkan dulu, iaitu untuk memalukan Najib.

Itu cerita lama

Bezanya, kata beliau, yang pertama dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan manakala yang kedua dianjur oleh sayap pemuda BERSATU.

"Dalam siri pertama Dr Mahathir tidak dijemput tetapi datang, rempuh dewan, naik ke pentas dan berucap tanpa kebenaran.

"Penyokong beliau mengisytiharkan Dr Mahathir menang kerana Najib tidak datang. Hakikatnya majlis itu adalah townhall bukan debat dan Najib sepatutnya hanya berdialog dengan peserta jemputan.

"Tetapi Najib berjiwa besar dan berintegiriti. Dia mendengar nasihat polis yang membatalkan majlis tersebut kerana perancangan sabotaj kumpulan Dr Mahathir.

"Mana mungkin seorang Perdana Menteri mahu melihat anak muda bergaduh di hadapan beliau," katanya.

Puad berkata pada majlis semalam Dr Mahathir pulang dalam keadaan malu kerana selepas menjadi perdana menteri selama 22 tahun, beliau akhirnya dilempar dengan selipar.

"Anak muda mengasak dengan soalan yang tidak boleh dijawab. Jawapan yang ada hanyalah: itu cerita lama," katanya.

Sementara itu PAS pula mengingatkan parti itu pernah menyarankan Dr Mahathir melawat masyarakat Memali di Kedah yang terbabit dalam peristiwa berkenaan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata lawatan Dr Mahathir sebagai seorang negarawan itu diharap boleh menghasilkan kesan yang baik kepada rakyat dan negara.

Mengenai isu Memali anggota parlimen Kota Bharu itu berkata pihak yang berkaitan dengan "peristiwa malang" itu mengambil pendekatan lebih ihsan terutama terhadap keluarga dan waris mereka yang terlibat.

"Dengan pendekatan demikian, diharapkan perasaan dendam, prejudis dan keegoan sesetengah pihak dapat dihentikan," katanya.

Takiyuddin juga menganjurkan rakyat Malaysia mengelak diri daripada budaya politik perkauman, emosi dan permusuhan serta membesar-besarkan sesuatu isu yang boleh diselesaikan secara harmoni.

"Budaya masyarakat Malaysia yang lemah lembut dan bersopan santun harus dikekalkan dan dimantapkan lagi dengan rasa berlapang dada, serta mengutamakan semangat saling mengormati," katanya.

Lucu Umno dituduh

Pemuda Umno Pahang pula berkata kedegilan BERSATU menganjurkan forum berkenaan akhirnya memakan diri parti terbabit, manakala Dr Mahathir seolah-olah terkelu lidah untuk menjawab soalan hadirin, termasuk satu daripadanya berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketuanya Shahar Abdullah berkata BERSATU juga diaibkan dengan insiden membabitkan ahli parti itu sendiri selepas "persoalan demi persoalan" yang dijawab oleh Dr Mahathir seakan-akan tidak mantap dan tidak meyakinkan.

"Persoalannya, bagaimana kekecohan itu berlaku? Adakah kerana ada sabotaj (yang kononnya dituduh adalah Umno), atau benar ada orang BERSATU sendiri yang tidak berpuas hati dengan jawapan Dr Mahathir?

"Atau sebenarnya ia hanya satu langkah untuk menghentikan forum itu kerana takut ada lagi soalan-soalan panas yang tidak dapat dijawab Dr Mahathir?" katanya.

Shahar juga mendakwa ada pelbagai spekulasi timbul termasuk insiden itu menunjukkan rasa kecewa dan tidak puas hati ahli pemuda BERSATU terhadap jawapan terlalu dangkal oleh pengerusi mereka.

"Lebih melucukan apabila Umno dituduh menjadi penyebab. Yang menganjurkan forum adalah BERSATU, yang menapis orang masuk ke dewan adalah BERSATU, moderatornya orang mereka, sekuritinya juga orang BERSATU, hadirin yang hadir penyokong BERSATU, yang menjawab soalan juga pengerusi BERSATU.

"Akhirnya mengapa mahu menyalahkan Umno akibat kekecohan sendiri?

"Mudah sungguh kerja BERSATU. Jika forum itu menjadi, mereka mendapat nama, apabila dikutuk, Umno dapat busuk. Begitulah modus operandi pihak pembangkang sejak zaman dulu dan kini diperturunkan kepada pemuda BERSATU," katanya.

Apa yang lebih menyedihkan, kata Shahar, perpecahan yang disebabkan BERSATU melibatkan orang Melayu.

"Bangsa lain mungkin sedang bertepuk tangan melihat percakaran kita dan percayalah mereka hanya menunggu peluang dan ruang untuk menjalankan misi dan visi mereka, menggunakan boneka yang mereka telah aturkan dalam kalangan kita," katanya.

Lihat Komen