Masalah banjir kilat di Kuala Lumpur akan diselesaikan apabila projek River of Life diselesaikan tahun depan, kata Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau yakin projek bernilai RM4.4 bilion itu dan terowong Smart sedia ada mampu menangani masalah itu.
“(Kawasan) yang berdekatan dengan kuala (Gombak dan Sungai Klang) itu memang dah siap dah.
“PM sudah beri arahan supaya dilancarkan. Mungkin kalau dapat sebelum 31 Ogos. Tetapi nampaknya oleh kerana keadaan tak mengizinkan, ia mungkin lambat sikit.
“Tetapi ia hampir siap. Hanya sikit benda yang perlu diatasi. Tetapi untuk keseluruhan sungai itu, tahun 2018 (akan siap). Kena pembesaran dan pendalaman sungai itu supaya kapasiti boleh diatasi.
“Sebab sekarang banyak cetek, pemendapan itu mendatangkan masalah,” kata Wan Junaidi di Kuala Lumpur ketika ditanya berkaitan kemajuan projek itu.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas hadir ke kongres sedunia berkaitan kajian dan kejuruteraan hidro alam sekitar bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi.
Selain untuk melebar dan memperdalam sungai-sungai di ibu negara, River of Live berhasrat membersihkan segala sampah-sarap daripada sungai dan tebing-tebingnya.