malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
ADUN Umno pertahan Norlela yang 'tersisih'
Diterbitkan:  Aug 14, 2017 1:07 PM
Dikemaskini: 5:09 AM
ADS

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Norlela Ariffin tidak mendapat sambutan mesra partinya sendiri setelah berterima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menangkap exco Pulau Pinang Phee Bon Poh.

Bagaimanapun, ADUN parti lawannya daripada Umno pula hari ini tampil memuji tindakan itu.

“Adalah amat tidak wajar dan tidak adil beliau disisihkan hanya kerana mengucapkan terima kasih kepada SPRM kerana telah mengambil tindakan ke atas isu yang dia bawa untuk tindakan pihak berkuasa kerajaan negeri Pulau Pinang dua tahun lalu,” kata Datuk Muhamad Farid Saad.

ADUN Pulau Betung itu berkata, PKR yang mendakwa memperjuangkan keadilan untuk semua rakyat, patut menyokong Norlela, bukan mengecam atau 'memulaukan'.

Muhamad Farid berkata, Norlela hanya bertindak demi keselamatan penduduk yang diwakilinya.

“Hari ini PKR mengambil pendirian untuk bersama DAP mempertahankan tindakan exco DAP yang sedang disiasat oleh SPRM dan polisi kerajaan negeri Pulau Pinang yang berisiko tinggi dan membahayakan keselamatan dan kesihatan rakyat setempat dengan membenarkan sebuah kilang haram terus beroperasi walaupun terdapat banyak aduan telah dibuat terhadap kilang haram berkenaan,” katanya.

PKR Pulau Pinang semalam dilapor menjarakkan diri daripada Norlela Ariffin selepas menyatakan penghargaan kepada SPRM selepas penangkapan Phee yang juga ADUN DAP.

Beberapa pemimpin PKR memberitahu Malaysiakini mereka faham tindakan Norlela yang mengadu masalah itu kepada SPRM bagi pihak penduduk tetapi merasakan ucapan terima kasih itu keterlaluan.

Pemimpin-pemimpin itu mendakwa SPRM hanya menyasarkan pembangkang dan ikan bilis, bukan jerung besar seperti yang terlibat dalam skandal 1MDB, kata salah seorang pemimpin PKR.

Dalam kenyataan hari ini, Muhamad Farid mengingatkan bahawa Norlela pernah “menangis” apabila usulnya berkaitan kilang haram ditolak speaker Dewan Undanagn Negeri (DUN).

Bagaimanapun, kata Muhamad Fariz lagi, “anggota PKR dan DAP yang lainnya turut ketawakan beliau”.

“Apabila terbukti isu-isu yang dibawa olehnya ada asas dan kebenaran setelah tindakan bersepadu diambil oleh beberapa agensi berwajib (kecuali MPSP), mereka membiarkan YB Dr Norlela berseorangan.

“Apa yang sebenarnya DAP dan PKR mahukan daripada wakil-wakil rakyat mereka? Bersuara untuk rakyat atau menjadi burung kakaktua yang hanya mengajuk suara-suara tuannya sahaja?” katanya.

Mahkamah Majistret di George Town, Sabtu lalu, membenarkan Phee direman lima hari susulan siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa berkaitan surat yang dihantarnya kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Dalam surat itu, Phee meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menghentikan tindakan terhadap kilang haram berusia 15 tahun di Sungai Lembu sehingga penyelesaian dicapai antara pihak berkaitan.

Lihat Komen