malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
MP PKR persoal Kontrak BERNAS dengan kerajaan
Diterbitkan:  Aug 13, 2017 5:10 PM
Dikemaskini: 9:17 AM
ADS

Anggota Parlimen PKR Alor Setar Gooi Hsiao Leung mendakwa syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) buat kenyataan bahawa kontrak BERNAS dengan kerajaan akan diperbaharui selama-lamanya dan syarikat itu akan terus menjadi pemegang permit tunggal untuk mengimport beras dari luar negeri.

Gooi berkata usulnya mengenai perkara ini telah ditolak dalam sidang parlimen baru-baru ini.

"Saya terpaksa memfailkan usul ini setelah terkejut dengan penemuan fakta di atas yang didedahkan dalam surat yang dikeluarkan oleh Mercury Securities Sdn Bhd (dilantik oleh BERNAS) bertarikh 2.3.2017 berhubung dengan satu penstrukturan korporat yang dijalankan pada bulan Mac tahun ini," katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Gooi juga menuntut menteri pertanian dan industri asas tani Datuk Seri Noh Omar tampil memberi penjelasan segera bagaimana BERNAS boleh membuat andaian umum bahawa perjanjian BERNAS dengan kerajaan akan diperbaharui untuk selama-lamanya apabila tamat tempoh perjanjian tersebut pada 10.1.2021.

Menurut Gooi jika dakwaan itu benar ia akan memberi kesan besar dan menjejaskan industri padi dan beras negara untuk generasi-generasi yang akan datang.

Beliau mempersoalkan bagaimana BERNAS boleh membuat kenyataan sedemikian bahawa perjanjiannya dengan kerajaan akan diperbaharui untuk selama-lamanya.

"Adakah ia dilakukan dengan restui kerajaan?

"Mana-mana rancangan melampau itu, jika benar, mesti dihentikan dan ditamatkan dengan segera," tegas kenyataan tersebut.

Tambah beliau, "kesan perjanjian tersebut akan menghancurkan seluruh industri padi dan beras."

Gooi berkata semua pihak yang berkepentingan khususnya petani perlu dirundingkan terlebih dahulu.

"Hari ini sudah ada keluhan awam yang tidak berkesudahan bahawa BERNAS, yang sekarang menjadi syarikat perniagaan, hanya memberi tumpuan sepenuhnya kepada keuntungan dalam perniagaan monopoli import beras, dan telah mengabaikan peranannya dalam melindungi kepentingan petani, pengilang bumiputera dan industri beras secara amnya."

Lihat Komen