malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Walau difitnah, Najib tetap bantu rakyat'
ADS

Jasa dan sumbangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membela nasib rakyat di Melaka perlu diterjemah kepada sokongan terhadapnya agar terus memimpin negara ke tahap lebih tinggi, kata bekas Ketua Menteri Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Bukit Katil berkata sehingga kini Perdana Menteri telah melaksanakan pelbagai insentif bersifat kebajikan termasuk pendidikan bagi memastikan rakyat di negeri ini mendapat manfaat terbaik daripada dasar-dasar yang diper­kenalkan.

"Kita boleh lihat sudah banyak kali Perdana Menteri membantu dalam memajukan Melaka terutama dalam sektor pendidikan dengan membangunkan sekolah serta universiti di negeri ini dan ia bukanlah bersifat peribadi namun benar-benar membuktikan keprihatinan beliau terhadap rakyat di negeri ini.

"Misalnya Najib kata mahu menambah 200,000 bilangan tempat pengajian bagi pelajar Melayu, beliau memilih negeri ini untuk mewujudkan dua institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bandaraya Melaka dan UiTM Jasin," katanya ketika berucap pada persidangan perwakilan Umno Bahagian Bukit Katil di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh hari ini.

Persidangan perwakilan Umno bahagian itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut sama pada majlis itu Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron serta dihadiri kira-kira 20,000 orang termasuk perwakilan.

Mohd Ali berkata keadaan ini berbeza dengan seorang bekas perdana menteri yang sanggup bersekongkol dengan DAP.

"Penasihat DAP Lim Kit Siang tidak mengiktiraf hak keistimewaan orang Melayu dan dasar ini masih diamalkan oleh parti pembangkang. Sebab itu Tun Dr Mahathir Mohamad bersekongkol dengan DAP.

"Kita tolak fahaman sebegini kerana ini bukan cara kita sebagai orang Islam yang mengamalkan budaya timur sebaliknya kita menyokong kebenaran dan keadilan. Kita gunakan sistem Islam," katanya.

Beliau berkata pengundi di seluruh negara perlu melihat apa yang terjadi di Parlimen Bukit Katil di sini sebagai bukti nyata bahawa pembangkang hanya mampu memberikan janji-janji manis kepada rakyat pada pilihan raya demi mendapatkan undi.

Justeru, beliau meminta rakyat menilai kepimpinan negara berdasarkan keupayaan mengotakan janji dan bukan melihat semangat mereka ketika berceramah serta pada retorik semata-mata.

"Kalau kita dapat keputusan yang tepat maka, kita mesti sokong Najib dan saya yakin Umno Bukit Katil sentiasa menyokong pimpinan beliau dan berikrar akan kembalikan semula gelombang merah dan lautan biru.

"Walaupun banyak fitnah dan tohmahan dilemparkan kepada Najib sebagai alat untuk menyerang kerajaan namun beliau tetap prihatin dan terus menghulurkan bantuan kepada rakyat serta masih cekal berdiri memperbetulkan satu demi satu kesilapan dan mentransformasikan acuan lama yang dibentuk sebelum ini," katanya.

 

-Bernama

Lihat Komen