malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Kunjungan pimpinan PKR terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada malam tadi hanyalah satu ziarah, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Azmin Ali.

Katanya, beliau bersama Presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail serta Naib Presiden Dr Shaharuddin Badaruddin menziarahi Abdul Hadi ekoran pembedahan menggantikan injap jantung yang dilakukan pada Mei lalu.

"Di peringkat awal, memang kita dinasihatkan untuk tidak menganggu ustaz Hadi kerana beliau perlukan rehat.

"Setelah dua bulan, saya dan YB Dr Wan Azizah berasa kita perlu menziarahi ustaz Hadi serta mendoakan bahawa beliau cepat sembuh.

"Alhamdulilah daripada perbincangan yang berjalan malam tadi, nampaknya ustaz Hadi sudah semakin pulih dan bertambah sihat, tetapi doktor menasihatkan beliau terus berehat untuk satu tempoh sebelum dapat menjalankan aktiviti biasa," katanya ketika ditemui pemberita di Batu Caves pagi ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita ekoran Abdul Hadi dan Azmin bergambar dan berkongsi foto mereka di akaun Facebook masing-masing selepas berjumpaan yang dilakukan malam tadi.

Anggota parlimen Marang itu menjalani pembedahan mengganti injap jantung di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 16 Mei lalu.

Pembedahan yang dilakukan Abdul Hadi, 69, dibuat ekoran beliau mempunyai "tanda-tanda injap jantung yang bocor".

PKR gila talak?

Sementara itu, pembantu isteri perdana menteri Datuk Seri Rizal Mansor berkata, tindakan PKR menziarahi presiden PAS berkenaan dilihat seolah-olah menunjukkan PKR tidak yakin dengan parti lain dalam Pakatan Harapan (HARAPAN). 

Dalam tulisan di Facebooknya, Rizal (gambar kanan) berkata, PKR dilihat masih mengharapkan PAS bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. 

"Ia cukup untuk menunjukkan kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahawa PKR masih mengharapkan PAS untuk menghadapi PRU akan datang.

"Dalam erti kata lain PKR tidak meyakini AMANAH dan BERSATU.

"AMANAH berhak merasa kecil hati dengan tindakan PKR yang bermain di belakang mereka. Dalam masa yang sama, PAS juga berhak merasa bangga kerana bekas pasangannya terus gila talak," tulis Rizal. 

Lihat Komen