malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM boleh siasat Zahid, tapi dengan syarat...
ADS

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi boleh disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi hanya apabila agensi itu mendapati ada "asas" bagi dakwaan berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata tindakan itu tetap tidak boleh dibuat jika mereka mendapati tiada asas untuk berbuat demikian walaupun aduan sudah dikemukakan.

"Kami ada laporan (berkaitan Ahmad Zahid) sekarang dan SPRM akan menelitinya untuk memastikan sama ada ia berasas atau tidak.

"kalau ada asas, kami akan siasat. Kalau tak ada, macam mana kami nak siasat?" katanya kepada media hari ini.

Dzulkifli ditemui media di Putrajaya selepas menerima memorandum sokongan daripada gabungan parti politik yang bernaung di bawah kumpulan Gagasan Sejahtera diketuai PAS.

Mereka hadir ke Ibu Pejabat SPRM itu untuk menyatakan sokongan terhadap kempen agensi terbabit memerangi rasuah.

Pada 8 Ogos lalu Pemuda DAP mengemukakan laporan kepada SPRM dengan mengaitkan nama timbalan perdana menteri itu dengan kekayaan dimilikinya.

Laporan itu tersebut dibuat Setiausaha Ketua Pemuda DAP, Choy Tsi Jen.

Ia sebagai reaksi pergerakan itu kepada kenyataan SPRM bahawa mereka tidak dapat menjalankan siasatan ke atas bekas ketua pemuda Umno terbabit kerana tiada laporan dibuat terhadapnya.

"Ia dilakukan bagi memudahkan SPRM membuka kertas siasatan berkenaan dakwaan bahawa Zahid memiliki RM230 juta dalam bank akaunnya pada 1996," kata Choy.

Dakwaan tersebut pertama kali dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Zahid sedia disiasat

Kata Dzulkifli hanya disebabkan seseorang itu memiliki banyak harta maka SPRM harus menjalankan siasatan.

"Seseorang itu boleh (menjadi) kaya, tapi (dari mana) sumbernya yang penting.

"Kalau sumber daripada salah guna kuasa, barulah jadi tanggungjawab SPRM untuk menyiasat.

"Kalau setakat menyatakan hartanya RM230 juta tetapi tak ada (asas) dan (pengadu) pun tak ada bukti, macam mana SPRM nak siasat?" katanya.

Untuk rekod Ahmad Zahid berkata beliau sedia disiasat SPRM berhubung dakwaan dibuat Dr Mahathir itu.

Katanya siasatan berkenaan boleh dibuat bagi membetulkan tuduhan yang disifatkannya sebagai pembohongan.

Pada masa sama Ahmad Zahid meminta harta bekas perdana menteri dan keluarganya juga disiasat suruhanjaya tersebut.

“Saya dengan ini terbuka hati dan menawarkan diri untuk disiasat oleh SPRM demi membetulkan persepsi dan pembohongan yang dilakukan oleh orang itu (Dr Mahathir).

"Pada masa sama saya minta aset beliau dan keluarga beliau juga disiasat SPRM. Ini bukan cabaran, cuma minta… baru namanya telus. Jangan dok tuduh orang,” katanya semasa berucap merasmikan mesyuarat agung Umno Baling.

Pada 9 Ogos Malaysiakini melaporkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyerbu pejabat salah seorang anak lelaki Dr Mahathir, Datuk Mokhzani Mahathir.

Antara syarikat yang disiasat LHDN ialah Crescent Capital Sdn Bhd yang diketuai seorang lagi anak Dr Mahathir, Mirzan.

Satu lagi syarikat yang dikunjungi LHDN ialah Opcom Holdings Bhd yang diasaskan oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga bekas menteri besar Kedah.

Kerajaan bagaimanapun menafikan tindakan itu bermotifkan politik.

Lihat Komen