malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Perak sokong pembuli dibuang sekolah
Diterbitkan:  Aug 11, 2017 2:57 PM
Dikemaskini: 7:00 AM
ADS

Kerajaan negeri Perak menyokong penuh sekiranya hukuman buang sekolah dikenakan terhadap pelajar yang membuli berikutan kes itu dilihat semakin membimbangkan.

Pengerusi Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata walaupun tiada laporan membabitkan kes buli di negeri itu, namun tindakan itu wajar bagi menangani masalah yang semakin berleluasa.

“Walaupun peraturan untuk tangani kes buli di sekolah sudah ada tetapi kejadian itu masih berlaku dalam kalangan murid. Kebanyakan kejadian buli berlaku di kawasan sekolah,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pejabat Pendidikan Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) di Dataran Ilmu Pejabat Pendidikan Daerah di Taiping hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas saranan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid semalam iaitu hukuman paling berat perlu dikenakan terhadap individu yang didapati terlibat dengan kegiatan buli di sekolah atau kolej bagi mengelakkan ia terus berulang pada masa depan.

Katanya, pihaknya kecewa dan sedih kerana kegiatan buli masih berlaku biarpun beberapa kes didedahkan dan pelbagai usaha dilakukan bagi menangani masalah tersebut.

Sementara itu, Muhammad Amin meminta warga pendidik di negeri ini supaya tidak terbabit dengan gejala rasuah kerana ia memberikan imej yang tidak baik kepada sesebuah organisasi.

“Pendidik yang terbabit dengan rasuah boleh dibuang kerja jika didapati bersalah di mahkamah. Sebagai penjawat awam kita hendaklah menjauhi perbuatan rasuah.

“Melalui IBR ini, ia diharap akan memberikan pengetahuan berguna kepada pengetua dan guru besar kerana rasuah boleh berlaku dalam kalangan warga pendidikan jika tidak dielakkan,” katanya.

Kira-kira 200 pengetua dan guru besar daerah LMS menghadiri majlis tersebut yang pertama kali membabitkan jabatan itu bersama Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Malaysia (SPRM).

- Bernama
 

Lihat Komen