malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Seorang daripada exco Pulau Pinang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung surat-surat yang dikeluarkan pejabatnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, dipercayai mempunyai kaitan dengan sebuah kilang haram di Seberang Prai.

Kilang itu diserbu SPRM semalam.

Difahamkan Phee diberitahu dia ditahan SPRM kira-kira jam 3.30 petang tadi selepas dia hadir ke pejabat agensi antirasuah itu untuk memberi keterangan kira-kira jam 2.40 petang.

Sebelum itu pejabatnya di Komtar diserbu sekumpulan pegawai penguat kuasa termasuk dari Putrajaya.

Peguam Phee, RSN Rayer, memberitahu ketika dia memberi keterangan pegawai SPRM memaklumkan mereka menahannya.

"Phee akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan kebenaran tahanan reman esok," katanya kepada Malaysiakini.

Baru seminggu berlalu

Rayer yang juga anggota dewan undangan negeri Seri Delima berkata dia hairan mengapa Phee perlu ditahan kerana sudah memberi keterangan kepada SPRM.

"Tidak ada keperluan untuk Phee ditahan," katanya.

Reyer juga tidak pasti mengapa penahanan itu dibuat.

"Tetapi ia ada kaitan dengan beberapa surat ditandatangani Phee," katanya.

Menurut laoran New Straits Times sebuan SPRM itu dibuat ke atas kilang haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam selepas tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa Pulau Pinang.

Ketika ditemui media semasa pejabatnya diserbu, Phee enggan mengulas perkembangan yang berlaku itu.

Phee ialah anggota dewan undangan negeri Sungai Puyu mewakili DAP.

Kawasan itu dianggap satu daripada kubu kuat DAP di Pulau Pinang.

Pada pilihan raya umum ke-13 lalu Phee mengalahkan pencabar daripada BN, Sum Yoo Keong, dengan majoriti besar 16,207 undi. Phee memperoleh 19,381 undi berbanding Sum hanya 3,174 undi.

Pegawai SPRM itu juga enggan mengulas ketika ditanya kemungkinan serbuan hari ini mempunyai kaitan dengan kewujudan kilang-kilang tanpa lesen di Pulau Pinang.

Tidak dapat dipastikan sama ada SPRM merampas sebarang dokumen dari pejabat Phee.

Serbuan hari ini dibuat kira-kira seminggu selepas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menandatangani ikrar bebas rasuah bersama 10 perakuan tambahan mengukuhkan integriti kerajaan negeri dengan SPRM.

[Baca berita lanjut]

Lihat Komen