malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu bin Abdullah: Asyraf minta rujuk mufti wilayah
ADS

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta pelbagai pihak merujuk artikel Mufti Wilayah Persekutuan berhubung isu anak tidak sah taraf.

Beliau berkata demikian mengulas perbezaan pandangan dalam kalangan agamawan berkaitan isu berkenaan.

"Kalau kita nak dengar perbezaan pandangan di bawah (anak tak sah taraf) macam-macamlah. Kita ada ustaz segera, ada imam muda, ada imam media sosial.

"Masing-masing akan memberi pandangan tetapi rujuklah pada pihak mufti. Saya harap masyarakat boleh rujuk perkara itu (status anak tak sah taraf) sebab artikel itu memberi perbahasan secara holistik.

"Apakah sebenarnya pandangan al-Quran, as-Sunnah termasuk ulama-ulama muktamar berkenaan benda ini dan apakah kesan pro dan negatif apabila isu ini dipolemikkan, dibincangkan di dalam pelbagai perspektif," tegas Asyraf.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Diskusi Sah Nikah Sah Nasab dan Pelancaran Buku Kompilasi Kes-kes Rundingan Cara Jawi di Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, Asyraf enggan memberikan respons ketika diminta mengulas apakah mahkamah perlu akur dengan ketetapan dibuat golongan ulama itu.

Pada 27 Julai lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa seorang anak yang dilahirkan di luar nikah boleh dibin nama bapanya dan fatwa mengenainya oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang menulis keputusan sebulat suara itu, berkata bidang kuasa ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenai perkara itu adalah sivil dan terbatas

Sementara itu, mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos lalu memutuskan, anak tidak saf taraf tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada bapa biologinya seperti yang diputuskan oleh jumhur ulama.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, sehubungan itu, anak itu hendaklah dinasabkan kepada Abdullah atau nama Allah yang mulia.

Bagaimanapun, pendirian itu berbeza dengan pandangan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mengalu-alukan keputusan mahkamah tersebut menerusi laman Facebooknya.

Menurut Asri, keputusan hakim berkenaan mampu menutup keaiban, memberi peluang bertaubat dan ke arah menghindarkan mentaliti 'Islam sebagai agama hukuman'.

Sementara itu, mengulas mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2014 (Akta 164) yang diluluskan tengah malam tadi, Asyraf berkata pihaknya mengalu-alukan perkara berkenaan.

Dengan lulusnya pindaan RUU itu, hak diberikan kepada suami atau isteri yang memeluk agama Islam bagi memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil mengikut peruntukan Subsekyen 51 (1) Akta 164.

 

Lihat Komen