PARLIMEN| Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah merampas 1,936 ekor hidupan liar merangkumi 76 spesies menerusi operasi penguatkuasaan membanteras penyeludupan bagi tempoh September 2016 hingga April lepas.
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata daripada jumlah itu, sebanyak 269 ekor adalah daripada 21 spesies hidupan liar eksotik.
"Hidupan liar eksotik itu berasal dari negara lain dan perdagangan serta pergerakan spesies tersebut merentasi sempadan antarabangsa dan tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Flora dan Fauna Terancam (CITES),” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Ia menjawab soalan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) yang ingin tahu usaha kementerian dalam mengatasi masalah haiwan terlindung dan eksotik terancam yang mati semasa dalam penjagaan Jabatan Perhilitan setelah dirampas daripada individu tidak bertanggungjawab.
Kementerian itu berkata berdasarkan pengamatan tempoh operasi tujuh bulan itu, kadar kematian hidupan liar yang dirampas hanya 10.2 peratus yang berpunca daripada trauma, stress dan kurang matang selain daripada kecederaan ketika diburu dan disimpan oleh penyeludup.
Menurut kementerian itu, bagi menjamin penjagaan hidupan liar yang dirampas tersebut, Jabatan Perhilitan meningkatkan ilmu pengendalian dalam kalangan tenaga kerjanya serta memperkemas prosedur operasi standard.
Dalam satu lagi jawapan bertulis kepada soalan Datuk Rozman Isli (BN-Labuan) mengenai pelan tindakan kementerian bagi menyelamatkan badak sumatera yang semakin terancam dan kian pupus, kementerian itu berkata kerajaan telah mengusulkan beberapa kerjasama di peringkat antarabangsa terutamanya dengan Indonesia.
Menurut kementerian pada masa ini hanya Malaysia dan Indonesia yang memiliki badak sumatera dengan populasi keseluruhan kurang daripada 275 ekor.
"Antara kerjasama di peringkat antarabangsa dengan Indonesia ialah cadangan Projek Konservasi Transboundary Badak Sumatera hasil inisiatif kerajaan Malaysia yang melibatkan aspek bidang saintifik dan perkongsian pengetahuan berkenaan badak sumatera," katanya.
- Bernama

