malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lim Kit Siang tak kenal penyanyi RnB Rihanna
ADS

Pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang mengakui bahawa dirinya tidak mengenali penyanyi RnB, Rihanna.

Lim berkata demikian selepas wujudnya kain rentang di kawasan parlimennya di Gelang Patang yang bertulis:

 “Sorry, Uncle Kit Siang, we are not Rihanna, we don’t love the way you lied" (Minta maaf pakcik Kit Siang, kami bukan Rihanna, kami tidak suka dengan cara anda menipu). 

"Baru-baru ini saya dituduh 'tiba' di Malaya dari China pada 1957, dan saya telah tiba-tiba menukar alamat tempat mengundi saya ke Pulau Pinang untuk bertanding di Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang. 

"Dan paling terbaru, terdapat kain rentang telah diletakkan di kawasan parlimen saya, di Gelang Patah dengan perkataan "Sorry, Uncle Kit Siang, we are not Rihanna, we don’t love the way you lied". 

"Saya perlu mengaku bahawa saya tidak tahu siapa Rihanna ketika saya mula-mula nampak perkataan itu," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Love The Way You Lied merupakan tajuk lagu yang dinyanyikan oleh penyayi rap Eminem bersama Rihanna. 

Selain Rihanna, terdapat juga kain rentang yang memaparkan lagu daripada Wiz Khalifa dan Charlie Puth yang bertajuk 'See You Again' serta lagu daripada Miley Cyrus, 'Wrecking Ball'. 

Sementara itu, pada sidang media di Parlimen, Lim enggan mengesahkan sama ada beliau akan mempertahankan kerusi parlimennya. 

"Kita akan tahu pada hari penamaan calon," kata Lim kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Sebelum ini, Umno Gelang Patah membuat spekulasi bahawa Lim akan bertanding di tempat lain pada pilihan raya umum akan datang kerana berdasarkan rekod pengundian menunjukkan beliau mengundi di Pulau Pinang. 

Sejak 1969, Lim telah menjadi anggota parlimen sebanyak lapan kali. 

Beliau pernah mewakili Bandar Melaka, Kota Melaka (dua kali), Petaling Jaya, Tanjong, Ipoh Timur (dua penggal) dan kini di Gelang Patang. 

Selain itu, Lim berkata beliau akan mempertimbangkan untuk mengubah alamat mengundinya ke Johor kerana ia akan membuatkan beliau layak untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan. 

"Memandangkan Umno Gelang Patah sangat tekad, saya akan fikir untuk mengubah alamat saya dan ia membolehkan untuk bertanding (kerusi) semasa pilihan raya negeri Johor," kata Lim lagi. 

Lihat Komen