Kerajaan hari ini memberitahu sidang Dewan Rakyat bahawa kedudukan rizab negara kembali stabil dan mampu membiayai import tertangguh negara.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chan Kong Choy berkata kedudukan rizab antarabangsa negara setakat 30 Jun lalu berjumlah RM98,857 juta (US$26,015 juta), berbanding RM98,557 juta pada akhir bulan sebelumnya.
"Tahap rizab ini cukup untuk membiayai 3.9 bulan import tertangguh," katanya, menjawab soalan wakil Datuk Mohd Sarit Yusof (BN-Temerloh) pagi tadi.
Dalam soalannya, Mohd Sarit meminta kementerian berkenaan menjelaskan kedudukan rizab dan ingin mengetahui sama ada kemerosotan rizab itu beberapa bulan ini akibat peningkatan bayaran ke luar negara.
Chan (BN-Selayang) tidak menafikan pengurangan rizab negara tahun ini berbanding tahun lepas.
Beliau menjelaskan kekurangan itu sebahagian besar disebabkan oleh pengurangan jumlah hasil eksport negara akibat kelembapan ekonomi Amerika Syarikat, kerapuhan ekonomi Jepun dan kelembapan permintaan barangan elektronik di pasaran antarabangsa.
Pengurangan itu juga disebabkan pembayaran balik hutang luar negara, pelaburan syarikat-syarikat Malaysia di luar negara dan pengurangan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI).
Timbalan menteri itu menambah, kemerosotan rizab negara juga disebabkan kerugian daripada penilaian semula kadar pertukaran bagi setiap suku tahun yang dibuat Bank Negara berikutan pengukuhan mata wang dolar Amerika.
Sementara itu Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Noh Omar berkata pemimpin-pemimpin kerajaan dikehendaki mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri setiap dua tahun.
Peraturan itu telah berkuatkuasa dalam satu surat pekeliling yang dikeluarkan pada 29 Ogos 1981.
"Peraturan ini tidak dimaklumkan kepada parlimen kerana tidak ada peraturan di Dewan Rakyat yang memerlukannya (ia dimaklumkan)," jelas Noh kepada Drs Abu Bakar Othman (PAS-Jerlun) dalam sesi soal jawab lisan hari ini.
Dalam soalannya, Abu Bakar meminta Perdana Menteri menyatakan keberkesanan langkah yang diwajibkan kepada jemaaah menteri, menteri besar dan ketua menteri untuk mengisytiharkan harta masing dan ingin mengetahui sebab Dewan Rakyat tidak dimaklumkan jumlah-jumlah tersebut.
Che Ghani Che Ambak (PAS-Setiu) pula berkata penilaian harta yang dibuat oleh Perdana Menteri "tidak memberi kesan" dan beliau memberikan contoh kes-kes dakwaan penyelewengan kewangan yang membabitkan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Khalil Yaacob.
"Terima kasih kerana mengambil berat ke atas menteri besar Barisan Nasional," kata Noh.
Tambahnya kes Muhammad telah dibicarakan dan mahkamah mendapati beliau tidak bersalah.
Sementara laporan penyelewengan Khalil yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri Beserah, Datuk Fauzi Abdul Rahman "dalam siasatan dan biarlah pihak berkuasa menjalankan tugasnya."
Jawapan Noh itu kemudian disorak wakil-wakil rakyat pembangkang sebagai tanda bantahan.