malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS: Beri peluang pada pelan rasionalisasi 1MDB
ADS

ULASAN | Kleptokrasi adalah jenayah. Demikian juga amalan nepotisme dan kronisme.

Ia adalah mungkar yang wajib dicegah dan PAS sentiasa melaksanakan tanggungjawab itu sejak awal penubuhannya, merentasi semua zaman pemerintahan BN termasuklah zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

PAS bukan sahaja mahu agar tidak wujud lagi pemimpin yang melakukan mungkar itu, bahkan PAS mahu agar ruang dan peluang melakukan jenayah itu juga tertutup rapat.

Kerana itu PAS menyeru kepada perubahan sistem.

Pendirian PAS tegas bahawa isu hutang dan aliran wang 1MDB ini adalah suatu yang mesti disiasat secara telus dan menyeluruh bagi mengenalpasti dan mengesahkan wujud salah laku yang didakwa, justeru itu dapatlah dihukum semua individu atau pihak yang disabit salah.

Tanpa menafikan pentingnya peranan SPRM, Jabatan Audit Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan PDRM serta Bank Negara Malaysia (BNM), namun mesti diakui juga bahawa badan ini mempunyai keterbatasan bidang kuasa dalam sistem negara kita.

Dalam masa yang sama, ketegasan kita tidak perlu mengundang campurtangan asing dalam menangani isu ini.

Oleh sebab itu, PAS konsisten menggesa dan mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu ini secara bebas dan berwibawa untuk memastikan jika terdapat sebarang salah laku atau penyelewengan, maka pesalahnya mestilah dijatuh hukum sewajarnya.

Siasatan suatu perkara. Pun begitu, isu ini sendiri sudah pun menyebabkan kepentingan negara dan rakyat terancam.

Usaha bagi menyelamatkan kepentingan terancam ini adalah keutamaan yang mesti didahulukan dan semua pihak mesti terlibat, bukannya mengambil kesempatan bagi meraih kepentingan peribadi atau politik parti masing-masing.

Hutang 1MDB ini mesti diselesaikan dengan cepat dan wajar. Sekiranya tidak, negara dan rakyat berterusan menanggung beban ini tanpa peduli lagi parti atau pemimpin mana yang sedang berkuasa nanti.

Pelan Rasionalisasi 1MDB, meskipun berdepan dengan pelbagai kritikan, sekurang-kurangnya itulah pelan yang ada dan sedang berjalan bagi mengawal kerosakan yang telah berlaku.

Pelan penyelesaian ini wajar diberi peluang untuk dijayakan tanpa sebarang campurtangan politik.

Tanggungjawab semua bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan pelan ini sentiasa ditambahbaik melalui kuasa semak dan imbang yang kita miliki.

Inilah cara PAS dan PAS berasa bahawa ia adalah lebih selamat untuk semua, negara dan rakyat.

Berterusan menyalahkan pihak lain tidak dapat menyelesaikan masalah.

Inilah jua yang telah dipertegas oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS dan Timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.


Nasrudin Hassan merupakan ketua penerangan PAS serta anggota parlimen Temerloh.

Rencana ini adalah pandangan penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen