malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Bodohlah jika 1MDB sudi jumpa Dr M, Rafizi atau Pua’
Diterbitkan:  Aug 9, 2017 12:11 PM
Dikemaskini: 4:21 AM
ADS

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin menempelak kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa presiden dan CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy bersedia berjumpa dengan kepemimpinan parti itu kerana mereka mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera.

Sebalik, menurut pemimpin AMANAH itu, kenyataan berkenaan makin mengeruhkan keadaan berhubung pendirian PAS mengenai skandal 1MDB.

“Dalam konteks 1MDB, sudah tentulah Arul dan rakan-rakannya lebih selesa jumpa dengan parti yang tak bersuara atau kurang kritikal terhadap 1IMDB daripada jumpa yang kuat lawan 1MDB.

“Apatah lagi lawan dengan hujah-hujah yg bernas dan bukti yang kuat.

“Bodohlah jika Arul sudi jumpa dengan orang macam (Ahli Parlimen Pandan) Rafizi (Ramli) atau (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara) Tony Pua atau Tun Dr Mahathir (Mohamad),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Isnin lalu, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata beliau berpuas hati dengan pelan rasionalisasi 1MDB selepas pemimpin PAS mendengar taklimat dari Arul Kanda.

Beliau, kemudiannya menerusi satu kenyataan media semalam, berkata Arul Kanda bersedia berjumpa dengan PAS kerana juga mereka tidak mengamalkan budaya politik “fitnah dulu, bayar kemudian.”

Ini, katanya, bezanya PAS yang mencari penyelesaian berbanding parti-parti politik pembangkang yang mencari publisiti.

Mengulas lanjut, Hanipa berkata kenyataan Tuan Ibrahim itu jika diucapkan dalam forum perdana akan menerima tepukan gemuruh, tetapi dalam politik ia tidak langsung membantu.

“Pemimpin itu juga dilaporkan berkata parti suci tak amal budaya ‘fitnah dulu, bayar kemudian’.

“Dia tak ingat ke semasa kes ‘pil kuda’ dulu walaupun presiden parti suci menang tapi mahkamah kata statement dia adalah fitnah!” katanya.

Hanipa merujuk kepada tindakan bekas calon PKR untuk kerusi DUN Bukit Besi Mohd Shamsul Mat Amin serta dua lagi bekas calon parti itu dari Terengganu yang mengemukakan saman ke atas presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas tuduhan memfitnah.

Abdul Hadi dilaporkan ketika menjelaskan mengenai tindakan PAS meletakkan calon menentang PKR di tujuh kerusi pada pilihan raya umum 5 Mei 2013, menyebut bahawa calon PKR dibimbangi menjual pil kuda dan menggantung potret pemimpin komunis di ibu pejabat mereka.

“Saya betul betul kesian. Ginilah maulana... dalam dunia haiwan, haiwan yang suka baham haiwan lain sebagai mangsa jika simangsa itu dilihat lemah atau fragile yang tak ada kekuatan nak lawan,” katanya.

Lihat Komen