Kerajaan "semakin keras" melarang parti-parti pembangkang menyampaikan ceramah politik setelah acara itu mendapat sambutan hangat di beberapa negeri di Semenanjung, kata seorang pemimpin pembangkang yang ditangkap semalam.
Anggota Dewan Rakyat bagi Kuala Kedah, Mohamad Sabu hari ini berkata larangan itu, misalnya di Negeri Sembilan dan Selangor, "sama seperti yang dihadapi di Terengganu sebelum berjaya dirampas oleh PAS."
"Umno berada di dalam keadaan tidak popular," katanya kepada malaysiakini selepas sidang Dewan Rakyat petang tadi.
Mohamad ditahan polis ketika berceramah di Kuala Klawang, Negeri Sembilan mulai jam 10 malam dan dibebaskan 2 pagi tadi. Turut ditahan aktivis-aktivis Pemuda PAS Mohd Hanif Selamat dan Pemuda Parti Keadilan Nasional Abdul Hafiz Mohd Ali.
Beliau berkata, polis juga mengadakan sekatan jalanraya dan mengambil kad pengenalan pengunjung majlis itu bagi "menakutkan orang ramai".
Ceramah yang bermula jam 9.30 malam itu dihadiri antara lebih kurang 400 orang.
Sementara itu satu program pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Hulu Kelang, Selangor beberapa hari lalu turut diganggu oleh polis.
Acara 'jamuan petang bersama keluarga tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)' yang dianjurkan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) petang Sabtu dihalang oleh 20 anggota polis dan dua pegawai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Polis melarang acara yang bermula 4.30 petang itu menggunakan pembesar suara, menyampaikan ucapan dan lakonan yang dijadualkan dipersembahkan oleh bapa serta anak-anak seorang tahanan ISA, Saari Sungib.
'Penjenayah sindiket antarabangsa'
Saari pernah menjawat presiden JIM selama 10 tahun sebelum menyertai Keadilan pada 1999. Beliau dan lima lagi pemimpin reformasi kini ditahan selama dua tahun di kem Kamunting, Perak mulai awal Jun.
"Buat pertama kali dalam sejarah JIM dan Malaysia moden, satu majlis yang cukup tertib dan terhormat diserbu serta dikepung bagaikan majlis itu (diadakan oleh) penjenayah sindiket terbesar peringkat antarabangsa yang perlu dibanteras serta-merta," kata seorang aktivisnya.
"Tidak ada sesiapa yang meninggalkan majlis walaupun ramai yang terpaku dan tergamam melihatkan cara polis datang berbondong-bondong."
Turut serta dalam majlis yang dihadiri 250 ahli pertubuhan itu, Aliza Jaffar (isteri Saari), Aishah Othman (ibu Ketua Pemuda Keadilan, Mohamad Ezam Mohd Nor), Bahirah Tajul Aris (isteri Mohamad Ezam), Puan Zumrah Husni (isteri Dr Badrul Amin Bahron) dan Noor Farahin Ahmad (isteri Lokman Noor Adam).
Bagaimanapun, beberapa pemimpin JIM, termasuk presidennya Prof Madya Dr Mohamed Hatta Shaharom dan Aliza sempat menyampaikan ucapan ringkas.
Pada 9 Julai lalu, Ketua Pembangkang Datuk Fadzil Noor menulis surat kepada Ketua Polis Selangor bagi membantah kehadiran polis pada satu ceramah politiknya di Bukit Hijau, Kuala Selangor tiga hari sebelumnya.
Beliau berkata gangguan "beratus-ratus" anggota polis itu menyebabkan beliau mampu berceramah selama 20 minit sahaja.
Sementara 10 Julai, Presiden PAS itu menulis surat kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai untuk mengadu syarat-syarat permit yang berbeza-beza antara beberapa negeri dan daerah. Surat itu juga meminta pertemuan diadakan antara pemimpin-pemimpin utama parti Barisan Alternatif dengan polis untuk menyelaraskan syarat tersebut.
Usul tergempar yang dikemukakan oleh beliau di Dewan Rakyat hari ini bagi membincangkan gangguan dan sekatan polis itu ditolak oleh speaker dengan alasan ceramah-ceramah itu diadakan tanpa permit.