Pemuda DAP lapor SPRM kekayaan luar biasa Zahid

(Dikemaskini )

Pemuda DAP hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kekayaan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Laporan tersebut dibuat oleh Choy Tsi Jen, setiausaha kepada Ketua Pemuda DAP Wong Kah Woh. Ia sebagai tindak balas terhadap kenyataan SPRM yang tidak menyiasat Zahid kerana tiada laporan yang dibuat.

"Ia dilakukan bagi memudahkan SPRM untuk membuka kertas siasatan berkenaan dakwaan yang Zahid memiliki RM230 juta di dalam bank akaunnya pada tahun 1996," kata Choy dalam kenyataan Pemuda DAP hari ini.

Dakwaan tersebut pertama kali dibuat Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri yang menerima pengiystiharan harta Zahid pada 1996. Ketika itu, Zahid menjadi ketua Pemuda Umno.

Mahathir berkata beliau ragu dengan sumber Zahid mendapatkan RM230 juta tetapi tidak ada bukti yang mencadangkan sebarang salah laku.

Choy yang juga ahli jawatankuasa Pemuda DAP berkata SPRM perlu melihat bagaimana Zahid dapat mengumpul kekayaan sebanyak itu.

Pemuda DAP juga menyelar Ketua Pengarah SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad yang menunggu laporan dibuat kepada SPRM sebelum siasatan dimulakan.

Sebelum menjadi ketua Pemuda Umno, Ahmad Zahid merupakan bekas pengerusi Bank Simpanan Nasional dan seorang ahli perniagaan.

Zahid berkata beliau sedia untuk disiasat dan menafikan beliau terlibat dengan rasuah.

#}