malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Suhakam kesal tahap penjagaan kesihatan tahanan
Diterbitkan:  Aug 8, 2017 5:48 PM
Dikemaskini: 9:58 AM
ADS

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mendapati tidak banyak prosedur polis yang berubah dalam mengendalikan para tahanan yang memerlukan penjagaan kesihatan. Hal ini berikutan siasatan Suhakam terhadap kes kematian Parthiban Karuthini dalam tahanan.

Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail dalam kenyataannya hari ini menyatakan rasa kesalnya kerana pihak berkuasa tidak mempedulikan berbagai laporan dan cadangan Suhakam bagi mengurangkan kes kematian dalam tahanan.

Parthiban merupakan seorang tahanan di lokap balai polis Melaka Tengah. Dia meninggal dunia di Hospital Melaka pada 22 Mei lalu semasa mendapatkan rawatan.

Razali berkata Suhakam yang merekodkan 24 kenyataan semasa penyiasatan ini mengenal pasti isu-isu yang tidak selesai melibatkan penyediaan penjagaan kesihatan dalam kes-kes kematian dalam tahanan.

Berdasarkan siasatan mereka, suruhanjaya itu mendapati Parthiban tidak sihat tetapi pada awalnya dinafikan rawatan kesihatan di balai polis tersebut.

Menurut Razali pada masa yang sama pihak polis tidak terus sedar bahawa Parthiban ialah seorang pesakit kencing manis, walaupun kemudiannya Parthiban memberitahu mereka.

Razali juga memberitahu terdapat perintah untuk si mati mendapatkan rawatan di Hospital Melaka tetapi pasukan pengiring polis percaya perintah tersebut hanya untuk kes-kes kesihatan yang serius.

"Pemerhatian Suhakam menemukan jurang komunikasi yang memberikan kesan, di antara pasukan pengurusan balai polis Melaka Tengah dan unit pengiring," katanya.

Razali mengingatkan pihak polis bertanggung jawab menyediakan penjagaan kesihatan kepada mana-mana tahanan yang memerlukannya dan prosedur polis memerlukan pemeriksaan berterusan di sel bagi memastikan keselamatan tahanan.

"Suhakam menekankan jika terdapat keraguan mengenai tahap kesihatan, kebajikan atau perubatan tahanan, maka pihak polis wajib mendapatkan pandangan profesional perubatan."

Berdasarkan dapatan mereka dalam kes Parthiban, beliau berkata Suhakam mencadangkan pelaksanaan syor-syor berikut :

i. Sebuah inkues di bawah Seksyen 334 Kanun Acara Jenayah diadakan bagi mengenal pasti punca kematian dan menyiasat sama ada kecuaian turut menjadi punca kematian.

ii. Pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri bersama Kementerian Kesihatan dan Kewangan perlu memastikan Kaedah 10 Peraturan-peraturan Lokap 1953 dilaksanakan dengan menyediakan belanjawan berpatutan, peralatan dan sumber manusia serta menubuhkan pasukan perubatan tahanan di kesemua lokap.

iii.Bahawa kematian tersebut perlu disiasat dengan segera, secara bebas dan tindakan yang sesuai mesti diambil, sama ada disiplin atau jenayah, berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan.

Lihat Komen