malaysiakini logo
story-image
ADS

PARLIMEN | Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sepatutnya membantu rakyat - terutama petani berpendapatan rendah - dan bukan terbabit dalam projek yang besar-besar.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata beliau kecewa dengan sesetengag GLC yang gagal membantu petani.

Malah kata anggota parlimen Pasir Salak itu GLC tertentu seperti Felda sebaliknya terbabit dalam aktiviti yang tidak memberikan faedah kepada petani dan penternak negara.

"Kita perlu seru GLC ini.Saya geram juga kadang-kadang tengokkan perangai ni.

"Buat projek besar-besar, beli hotel sana sini. Ini rakyat, petani tak (perlu), betul tak?

"Saya bertanggungjawab untuk membuat kenyataan ini. Saya tak kisah. Saya membela rakyat," katanya semasa berbahas di Dewan Rakyat hari ini.

Tajuddin berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Anggota Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, yang meminta menteri menyatakan apakah usaha lanjut kmenterian untuk merealisasikan Gelombang Tani Nasional.

Penternak berjaya boleh dilahirkan

Kenyataan Tajuddin itu tidak lama selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat urus niasa anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

FIC sebelum itu membeli sebuah hotel empat bintang di Kensington, London.

Kata Tajuddin, petani perlukan lebih daripada sekadar slogan untuk membantu mereka mengeluarkan hasil dan pendapatan lebih baik.

GLC seperti Felda dan Sime Darby kata Tajuddin pernah diminta membuat projek integrasi menternak lembu di kawasan ladang masing-masing namun ditolak.

"Sebab mereka nak kerja senang. Sawit, senang kerja. Potong sawit, jual sawit dapat untung.

"Sime Darby juga begitu. Mereka ada kawasan ladang besar ratusan ribu kawasan kelapa sawit yang boleh dijadikan tempat ternakan lembu, tak nak ternak.

"Cuba bagi sokongan kepada pengusaha penternak yang sederhana, benarkan ladang-ladang mereka (digunakan), dan bagi bantuan modal, (kemudian) kita akan dapat lihat penternak-penternak berjaya," katanya.

[Baca berita asal]
 

Lihat Komen