malaysiakini logo
story-image
ADS

PARLIMEN | Anggota Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan institusi Dewan Rakyat kini semakin tercemar dengan sesetengah ahlinya yang bersikap 'luar biasa'.

Shahrir berkata demikian merujuk kepada beberapa perkembangan terkini politik negara, termasuk saman yang dikenakan terhadap Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Turut disaman Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah.

Pandikar disaman anggota parlimen (MP) Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian, baru-baru ini, apabila soalannya mengenai 1MDB ditolak.

"Bukan sahaja speaker Dewan Rakyat disaman dan dibawa ke mahkamah, malah hakim pun disaman. Tak ada perkara yang tak disaman dan dibawa ke mahkamah.

"Kemudian bila keputusan tak menyebelahi mereka, tuduh mahkamah tak adil," katanya.

Shahrir berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian naskhah Dasar Buku Negara dan TN50 karya Anggota Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zuhdi, di lobi parlimen hari ini.

Buku itu dirasmikan oleh Pandikar.

Hee yang juga seorang daripada wakil PKR di parlimen memberitahu speaker perlu menjelaskan mengapa soalannya ditolak kerana isu yang dibangkitkan itu penting serta perlu diketahui rakyat.

Bukan Islam kata hudud

Pandikar dalam reaksinya terhadap saman itu meluahkan rasa kesalnya, selain membayangkan peruntukan Fasal 63(1) Perlembagaan Persekutuan tidak lagi bermakna.

Untuk rekod pada awal sesi Dewan Rakyat baru-baru ini, pembangkang tidak berpuas hati dengan tindakan Pandikar (gambar) menolak lebih 30 soalan berkaitan skandal 1MDB.

Mereka kemudiannya mendakwa tindakan berkenaan mencemar kemuliaan dewan itu sendiri malah menggesa peranan Pandikar dikaji semula.

Sementara itu Shahrir yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) berkata sepanjang penglibatannya dalam politik tidak pernah berdepan dengan situasi sebegini, apatah lagi yang membabitkan pembangkang.

"Saya pernah menjadi anggota parlimen bebas, kemudian dalam kerajaan, dan pengalaman ini adalah keadaan dan tempoh yang pelik.

"Pelik bukan sebab apa, (tapi sebab) mereka yang terlibat dalam politik mempunyai perangai dan pemikiran pelik.

"Apabila saya melihat suasana seperti ini, sepatutnya orang yang pelik-pelik ini diadili oleh rakyat. Namun mungkin juga ada rakyat yang suka orang yang pelik-pelik seperti ini," tegasnya lagi.

Shahrir yang juga Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno turut membidas tindakan pembangkang bukan beragama Islam mempertikaikan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau dikenali sebagai Rang Undang-Undang 355 (RUU355).

“Ada pihak yang bukan dari agama saya lebih pandai mengenai agama saya daripada saya sendiri.

"Bagi saya ini pelik. Dia kata (RUU355) hudud tapi saya kata bukan hudud (sedangkan) dia bukan Muslim (tapi) dia lebih tahu. Bagi saya ini memang pelik,” katanya.

Lihat Komen