malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Syarikat Texas dapat kontrak loji isononanol di Pengerang
Diterbitkan:  Aug 8, 2017 12:27 PM
Dikemaskini: 4:39 AM
ADS

Fluor Corporation mengumumkan diberikan kontrak kejuruteraan, perolehan dan pengurusan pembinaan (EPCM) oleh PETRONAS Refinery dan Petrochemical Corporation Sdn Bhd bagi sebuah loji isononanol di Pengerang, Johor.

Fluor dilapor akan menempah nilai kontrak yang tidak didedahkan itu pada suku ketiga tahun 2017.

"Pemberian kontrak ini merupakan satu bukti kepada perkongsian kukuh kami dengan PETRONAS," Ken Choudhary, presiden bagi perniagaan tenaga dan kimia Fluor untuk Asia Pasifik, dipetik sebagai berkata.

"Kami akan menggunakan pengalaman dan amalan terbaik kami yang diperoleh daripada melengkapkan kemudahan isononanol yang lain tepat pada masanya dan mengikut bajet yang diperuntukkan untuk menyampaikan projek ini dengan cemerlang."

Projek itu sebahagian daripada projek Pembangunan Bersepadu Loji Penapisan dan Petrokimia (Rapid) PETRONAS dan pembangunan raksasa Kompleks Bersepadu Pengerang bernilai AS$27 bilion.

Fluor, dalam sebuah konsortium dengan Technip, berkhidmat sebagai perunding pengurusan program untuk projek RAPID, serta kontraktor EPCM bagi skop kemudahan asas, saling berhubungan dan di luar kawasan.

Kemudahan itu akan menghasilkan 250,000 tan isononanol setahun, yang merupakan blok bahan kimia utama di dalam bahan peliat yang digunakan di dalam industri automotif dan bangunan.

Kemudahan itu dijangka mula beroperasi pada tahun 2019.

Fluor yang berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat, adalah syarikat bertaraf global yang mereka bentuk, membina dan menyelenggarakan kemudahan modal untuk pelanggan di enam benua.

Fluor berada pada kedudukan 149 di dalam senarai Fortune 500 dengan pendapatan sebanyak AS$19 bilion pada tahun 2016 dan mempunyai lebih 60,000 orang pekerja di seluruh dunia.

Lihat Komen