malaysiakini logo
story-image
ADS

Seorang anggota jawatankuasa kerja PAS hari ini menyelar dakwaan pemimpin kanan Pemuda parti itu yang mendakwa presiden mereka memberi kebenaran mengambil wang daripada Umno.

Anggota jawatankuasa PAS yang juga Timbalan Pengarah Penyelidikan parti Islam itu, Zaharuddin Mohammad berkata, beliau amat mengenali Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menafikan presidennya ada mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Saya kenali tuan guru (Abdul Hadi) jauh lebih dekat berbanding pemuda itu. Tuan guru seorang yang tegas tentang banyak perkara."

"Secara peribadi, tuan guru sentiasa berpesan kepada saya tentang tiga perkara. Satu, tentang duit terutamanya jika datang daripada Umno. Dua, tentang pangkat terutamanya jika dilantik Umno dan ketiga, perlu berjaga-jaga tentang fitnah perempuan."

"Sebab itu saya rasa hairan apabila saudara pemuda tersebut boleh mendakwa TG bersetuju mengambil duit daripada Umno dalam majlis yang dihadiri oleh semua rakan yang saya kenal," tulis Zaharuddin dalam Facebooknya.

Zaharuddin yang juga menantu Abdul Hadi menulis kenyataan itu sebagai menjawab tulisan seorang anggota PAS yang menggunakan nama Abu Ulwan di Facebook.

Dalam tulisan di Facebook Abu Ulwan, lelaki berkenaan mempersoalkan sama ada presiden PAS serta Majlis Syura mengizinkan untuk mengambil duit Umno.

Abu Ulwan mendakwa, seorang kenalannya memberitahu bahawa pemimpin Pemuda PAS itu memaklumkan bahawa Abdul Hadi ada menyebut mengenai perkara berkaitan penerimaan wang dari Umno dalam satu ziarah mahabbah oleh rombongan beberapa anggota PAS yang lain.

Bagaimanapun, Abu Ulwan menulis, perkara itu telah dinafikan oleh rombongan ziarah berkenaan dengan memberitahu bahawa Abdul Hadi menegaskan bahawa PAS mempunyai ramai ahli serta penyokong korporat dan tidak memerlukan wang dari Umno.

Sehubungan itu, Zaharuddin berkata, beliau akan menentang sekiranya terdapat mana-mana pimpinan yang mengambil duit dari Umno atau Pakatan Harapan kerana ia boleh memberi kesan kepada hala tuju parti.

"Jika ada pimpinan yang ambil duit Umno, PH, saya dan kawan-kawan saya akan lawan sekalipun terguling kerana penerimaan dana daripada pihak yang menjadi lawan yang ada conflict of interest boleh memberi kesan hala tuju dan bias kepada sesuatu keputusan parti," kata Zaharuddin lagi.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi daripada pemimpin Pemuda PAS berkenaan dan masih menunggu jawapan daripada pihak berkenaan.

Lihat Komen