malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Minggu lalu seorang kawan yang juga peguam menghantar pesanan WhatsApp kepada saya memaklumkan pengharaman sebuah buku yang saya terjemah dan terbitkan hampir 10 tahun lalu.

Ini bukan kali pertama buku yang saya terbitkan masuk ke senarai haram. Sebelum ini telah ada dua.

Menerusi berita Rabu lalu, saya dapati rupa-rupanya untuk 2017 saja bukan satu tapi tiga buku yang saya dan kawan-kawan usahakan telah diharamkan.

Saya sama sekali tidak terkejut atau marah dengan pengharaman ini. Kebebalan kerajaan yang ada pada hari ini telah sampai ke tahap yang membuatkan kita tidak lagi mampu terkejut atau marah.

Dungu dan bebalnya telah sampai ke maqam yang membingungkan para dewa.

Senarai buku haram - seingat saya - sejak lebih 10 tahun lalu ditunggu-tunggu sebahagian orang untuk dijadikan bahan jenaka. Manakan tidak, antara yang pernah diharamkan ialah buku Spongebob Squarepants!

Sokong kebebasan al-Quran

Antara tiga buku yang diharamkan itu adalah terjemahan karya sarjana antarabangsa Abdullahi Ahmed An-Naim berjudul Menuju Reformasi Perundangan Islam.

Aneh sekali buku ini diharamkan justeru yang dibincangkan di dalamnya ialah tentang pelaksanaan syariah, manakala pengarangnya adalah antara sarjana yang menyokong pelaksanaan syariah dalam negara moden (dengan beberapa penyesuaian agar selari dengan keadaan dan keperluan semasa).

Dua buku lagi (lebih tepat “risalah”) yang diharamkan pula disusun berdasarkan tulisan yang dibuat beberapa ahli akademik di Indonesia yang mengemukakan hujah-hujah menyokong kebebasan berdasarkan al-Quran dan hadis serta mempertahankan semangat Islam dalam perundangan semasa yang digelar sebagai “undang-undang Barat”.

Ada pula sebahagian orang menanti senarai buku haram tahunan untuk dijadikan sebab membuat bising tentang nasib penulis yang kerdil dalam berdepan dengan para raksasa penguasa.

Tetapi siapa sebenarnya peduli tentang buku?

Sebagai contoh, dalam sekian banyak kumpulan WhatsApp dalam telefon bimbit saudara saudari, apakah timbul cerita buku - tidak kira haram atau halal?

Wajib tukar kerajaan

Perkara ini pernah disuarakan teman saya Fathi Aris Omar semasa siri sembang kedai kopi di Jalan Telawi pada tahun-tahun awal reformasi sekitar 15 tahun yang lalu, ketika kami berkira-kira hendak mambuat kempen antipengharaman buku.

Lalu apa tindakan boleh diambil dalam berdepan kebebalan ditunjukkan kerajaan dan juga ketidakpedulian masyarakat tentang isu pengharaman buku?

Sebagai pengundi, saya menunggu pilihan raya untuk menukar kerajaan.

Apakah keadaan akan berubah dengan kerajaan baru? Tak akan banyak.

Perhatikan saja portfolio atau jawatan berkaitan pendidikan dan agama di negeri-negeri bukan BN. Yang memegangnya orang dari parti Islam yang jawapan mereka terhadap "buku-buku berbahaya" tentunya akan sama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), kalau pun tidak lebih parah (namun begitu, tetaplah wajib hukumnya menukar kerajaan).

Antara tindakan yang biasa diambil ialah membawa persoalan ke mahkamah, melawan lewat hukum-hakam negara.

Ini sesuatu yang tentunya amat wajar sebagai satu perlawanan dan juga sebagai satu cara mengatasi kerugian. Buku yang diharamkan KDN tidak lagi boleh disimpan, apatah lagi diedarkan dan dijual.

Duit yang dilaburkan untuk membikin buku itu hangus. Maka kalau berjaya dicabar di mahkamah dan pengharaman dibatalkan, buku boleh terus dijual (malah mungkin jadi lebih laris) atau mungkin juga penerbit boleh menuntut gantirugi. Ini satu pilihan.

Bagaimanapun, saya memilih untuk melawan dengan cara lain: dengan berusaha menerbitkan lebih banyak buku, membakar semangat kawan-kawan yang jauh dan dekat untuk lebih giat menerbitkan buku, dan menyusun kegiatan berkaitan buku, termasuk sesi bedah buku secara santai – moga-moga di seluruh ceruk tanah air.

Buku sebagai kertas berisi abjad-abjad bercetak boleh diharamkan, dibakar, dilarang jual, dilarang edar. Tapi gagasan dan buah fikiran punya sayap, ghaib dan penuh tenaga.

Dan kerana itu ia akan terus terbang ke mana-mana walau seribu senarai pengharaman dikeluarkan.


AL-MUSTAQEEM MAHMOD RADHI ialah penulis dan penterjemah buku.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen