malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Art Of Speed: Raikan bakat anak muda pandai besi
ADS

Keselesaan bukan tema utama untuk mereka yang datang mengepit enjin di atas bingkai motosikal tanpa penyerap hentakan atau Datsun tua tanpa penyaman udara dengan lantai satu inci dari permukaan jalan pada 29 dan 30 Julai lalu di MAEPS, Serdang.

Semuanya datang dan berkumpul untuk meraikan acara Art Of Speed yang kini memasuki tahun keenam.

Sebahagian besar yang lain hadir dengan set keluarga masing-masing, seperti berada di sebuah ekspo perumahan.

Acara yang meraikan seni ubah suai kereta dan motosikal itu bukan saja menarik kunjungan pengikut Kustom Kulture malah golongan biasa yang inginkan kelainan pada hujung minggu mereka.

Dalam dua hari pameran itu, para pengunjung berpeluang menyaksikan koleksi kereta klasik model Jepun dan Eropah, selain pelbagai karakter ubah suai kenderaan baik dua tayar mahu pun empat tayar.

[Lihat lebih banyak gambar di sini]

Pelbagai produk hasil kreativiti anak muda tempatan dijual di gerai-gerai di dalam dan di luar dewan.

Tahun ini nama anak muda Ipoh, Muhammad Khalid, dari The Rusty Factory menjadi sebutan ramai selepas memenangi kategori Invitational Build-Off dengan motosikal modifikasi Honda CX500 yang mengalahkan motosikal modifikasi lain dari pengkarya yang lebih berpengalaman.

Seorang lagi anak muda tempatan, Irwan Cheng, dari Beautiful Machine turut mencuri tumpuan dengan motosikal dragster TwinBoss yang berupa motosikal modifikasi yang menggunakan dua enjin RXZ.

Motosikal itu merupakan salah satu hadiah utama cabutan bertuah.

Untuk edisi tahun ini, pengunjung juga berpeluang bertemu selebriti Kustom Kulture seperti Jun Imai yang merupakan pereka Hot Wheels, selain ikon-ikon bidang modifikasi seperti David 'Chopper Dave' Freston dan Cole Foster.

Semoga acara Art Of Speed terus meriah di tahun hadapan dan membuka ruang kepada anak-anak muda tempatan mempamerkan bakat dan karya masing-masing.

Lihat Komen