malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Maka, buku peribahasa bagi kanak-kanak sekolah, karangan Muhamad Yusof Mustafa dan dikeluarkan Lembaga Persuratan Kesatuan Guru-Guru Kelantan Chetakan Ketiga, 1957 dirujuklah.

  1. Pemimpin orang; bagai gunting makan dihujung (249).
  2. Pemimpin kita, bagai unta menyerah diri (250).

Jika dilakar menjadi ayat aktif yang bersinambungan, begitulah kira-kira kesan hirisan yang akan terasa.

"Pemimpin orang, bagai gunting makan dihujung sedangkan pemimpin kita; bagai unta menyerah diri."

Aah, tak mahulah pula saya disindir, bagai merak mengigau di tengah hutan!

Lagipun, takkan tumbuh padi jika yang ditanam itu lalang.

Hah! Inilah yang barangkali apa yang sering disebut ahli sebagai bahasa berkias. Tersentuhkah khalayak 2017 atau masih main pakai kira rempuh tak menentu; di mana tempat hujung jatuhnya?

Jangan tak jangan, orang zaman sekarang, rata-rata, main pakai redah tak tahu di mana kayu palang dan daun pintu. Langgar sesiapa sahaja yang lawan ikon misteri pujaan mereka asal saja "orang itu" mampu menyenduk nasi ke pinggan masing-masing.

Itu tak tahu, ini tak tahu. Habis, nak jadi pengikut yang cerdik atau pemimpin yang baik lagu mana?

Dalam kamus bidalan Melayu, tersimpan terlalu banyak kias dan bidalan yang berkebijakan. Menyaksikan pebagai versi kata-ķata bijak orang Melayu tinggalan nenek moyang terdahulu, kita sesungguhnya mempuyai cukup potongan - atau cutting - untuk mampu menjadi sebuah bangsa besar - jika bersedia.

Kena buat sebab kita cukup syarat untuk muncul menjadi rajawali yang hebat dan bukan lalat yang tampil hina merempat lalu hinggap tak ke mana.

Falsafah pantun Melayu

Mari semak pula gesaan pantun Melayu:
Tanam kelapa di Pulau Bukum,
Tinggi sedepa sudah berbuah;
Adat bermula dengan hukum,
Hukum bersandar kitab Allah.
(Pantun Melayu Sastera Rakyat, hal 6)

Jika penghulu berkemenakan,
Itu menganjung meninggikannya;
Cerdik nan jangan dilagakkan,
Mungkin bingung kesudahannya.
(Langgam Sastera Lama, hal 170)

Pertama telok kedua pantai,
Ketiga dengan jamban dahulu;
Pertama elok kedua pandai,
Ketiga baik bangsa penghulu.
(Pantun Melayu, hal 11)

Baik-baik mengail tenggiri,
Jangan kena jambatan larangan,
Baik-baik menghina diri;
Jangan muka disapu arang.
(Hikayat Awang Sulung Merah Muda, hal 54)

Adalah diperhatikan, sepanjang merdeka hingga ke mari, fahaman dan ideologi feudalisme warga Melayu terhadap pemimpin Melayunya masih tak berubah. Watak sang setianya masih berputar-putar pada lilitan destar 'Tun Tuah'. Masih sama!

Biarpun ada usaha pembetulan paksi yang cuba diikhtiarkan di sana sini oleh tokoh-tokoh daripada kalangan sedikit berakal, yang masih mahu dinyahkan oleh rata-rata orang Melayu atau orang Malaya ini ialah pemimpin yang nak membuat pembetulanlah, bukannya pemimpin yang membebani mereka dengan pelbagai masalah.

Dengan latar pemikiran sejumud ini, pemimpin status quo yang sedang bertakhta; cukup dengan selesa bernafas kembali - mudah, menuduh pemimpin pemulih dari kem yang satu lagi itu sebagai "Mendeliar".

Ia disimbulkan dengan watak "Jebat derhaka." Ironinya, sepat masih memakan umpan baik di parit atau di kuala!

Membaca tindak balas majoriti orang Melayu seputar isu terkini misalnya, unsur dan tema ini nampaknya masih kekal mewarnai dan menguasai kemelut pemikiran Melayu - sejak dahulu dan mungkin juga hingga sampai selama-lama.

Percayalah. Jika masih enggan berubah, bangsa jenis ini akan segera pupus. Jika mungkin muncul lagi sekalipun walau di mana, ia tidak akan maju sampai bila-bila.

Tempatnya kekal - di bawah sebutir duli di tapak kaki bangsa lain. Ia kekal hina abadi - kekal qarar sampai ke bila.

Jadi, yang dimahukan itu, dari bangsa itu - apa lagi? Jika itulah rupa pertanyaan, maka izinkan pantun lama ini menyahut seru sambil menghidang jawapan sebucu:
Maling-maling tepi belukar,
Gelugur di tebing tinggi;
Dibanding tidak bertukar,
Diukur sama tinggi.

(Pantun Melayu, hal 11)


ANUAL BAKRI HARON ialah bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Belliau juga terlibat dalam dunia seni. Kini Anual menganggotai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen