malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM: Dr M tak kisah tipu rakyat untuk hapuskan GST
Diterbitkan:  Aug 4, 2017 4:38 PM
Dikemaskini: 8:59 AM
ADS

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menafikan dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan untuk menampung kerugian 1MDB.

Semalam, bekas perdana menteri itu mendakwa hutang 1MDB yang tidak dibayar akan ditanggung oleh rakyat termasuk menerusi cukai berkenaan.

"Untuk mengatakan GST berpunca daripada kegagalan urus tadbir kerajaan adalah satu penipuan kerana 160 buah negara lain turut melaksanakan GST termasuk negara-negara maju seperti England, Perancis, Jerman dan Kanada.

"Saya berharap rakyat Malaysia menolak dakyah dan penipuan yang hanya bertujuan mengumpul sokongan tanpa sebarang rasa tanggungjawab kepada negara dan masyarakat," katanya menerusi tulisan di blognya hari ini.

Malah, Najib berkata Arab Saudi sebagai negara pengeluar minyak tertinggi turut memperkenalkan GST seperti negara-negara lain di seluruh dunia.

"Tetapi kerana taksubnya Dr Mahathir untuk menjatuhkan kerajaan, beliau memaksa pemimpin pembangkang lain untuk menipu rakyat dengan menjanjikan penghapusan GST walaupun mereka semua sedar yang tanpa sumber pendapatan menggantikan hasil minyak, ekonomi negara akan lumpuh dan rakyat akan menderita.

"Namun Dr Mahathir tidak kisah asalkan beliau dapat menjatuhkan kerajaan," katanya.

Mahathir semalam mengulas laporan berkaitan kegagalan 1MDB membuat sebarang bayaran RM2.58 bilion kepada firma Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC).

Beliau yang juga bekas menteri kewangan juga curiga keputusan Putrajaya mengeluarkan bon RM2.5 bilion yang didakwa ada kaitan dengan kegagalan 1MDB membayar AS$602 juta (RM2.75 bilion) kepada IPIC.

Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagaimanapun menafikan spekulasi mengenai bon berkenaan yang dikeluarkan pada 4 Ogos dengan tempoh matang 20 tahun mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Katanya adalah perkara biasa bon digunakan untuk membiayai perbelanjaan kerajaan yang mengalami defisit dalam belanjawannya setiap tahun.

 

Lihat Komen