malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Generasi kedua Felda resah tiada rumah
ADS

Ketiadaan rumah sendiri menjadi keresahan kebanyakan generasi kedua warga Felda Kemahang di Tanah Merah yang terpaksa menumpang di rumah ibu bapa yang turut dikongsi dengan adik-beradik yang lain.

Tinjauan Bernama mendapati terdapat dua atau tiga keluarga tinggal di sebuah rumah dan lagi meresahkan, mereka yang berusia 40 tahun ke atas belum memiliki kediaman sendiri.

RasyidaAzlindawati Abdul Rahim, 40, dan suaminya Mohamad Bahari Samat, 40, terpaksa menumpang di rumah ibunya yang turut didiami adik lelakinya kerana tidak mempunyai tanah untuk dijadikan tapak rumah di kawasan Felda itu.

"Rumah yang saya diami sekarang ini telah diwasiatkan oleh bapa saya sebelum beliau meninggal dunia untuk dimiliki oleh anak yang bongsu maka ia akan menjadi milik adik saya," kata RasyidaAzlindawati yang merupakan anak sulung daripada lapan beradik.

Beliau berkata dengan pendapatan yang kecil sebagai petugas di Sekolah Pemulihan Dalam Komuniti Felda Kemahang 1 manakala suaminya yang bekerja sebagai buruh di kawasan itu tidak mampu untuk membeli rumah di luar dari kawasan Felda berkenaan.

"Adik-beradik lain ada yang bekerja sebagai penjawat awam dan bekerja dengan sektor swasta dan tinggal di luar dari kawasan Felda ini malah mampu membina kediaman sendiri," katanya kepada Bernama di Tanah Merah.

Selama ini, beliau dan suaminya serta generasi kedua yang lain mengharapkan permohonan mereka untuk mendapatkan rumah diterima oleh pihak pengurusan Felda.

"Baru-baru ini apabila kerajaan memutuskan lebih sebuah rumah boleh dibina di dalam satu tapak rumah, ia cukup meredakan kebimbangan saya dan suami selama ini kerana di belakang rumah ibu masih terdapat tapak untuk dibina sebuah rumah," katanya.

Walaupun menghadapi kekangan kewangan, mereka akan membina rumah itu secara berperingkat bergantung kepada wang yang ada.

"Dahulu saya pernah bekerja di kilang dan mempunyai caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) jadi saya akan menggunakan wang simpanan tersebut untuk membina rumah dan ditampung oleh duit upah yang kami peroleh sekarang. Rumah yang bakal dibina itu tidaklah besar dan ia boleh diperbesarkan pada masa depan," katanya yang tidak mungkin mendapat pinjaman dari bank kerana pendapatan yang terlalu kecil.

Teruja bina rumah

Mohd Shahrulnizam Saari, 38, yang bekerja sebagai pendawai elektrik di kawasan Felda berkenaan, begitu teruja untuk membina sebuah rumah di belakang rumah ibunya untuk keselesaan isteri dan dua anaknya.

"Saya amat bersyukur dengan keputusan kerajaan membenarkan lebih sebuah rumah dibina dalam satu lot dan selama ini pun tapak itu kosong," katanya yang sekarang ini menumpang di rumah ibunya.

Dengan memiliki sumber kewangan yang terhad, beliau merancang untuk membina sendiri rumah bersama adik lelakinya yang merupakan tukang rumah dan langkah itu menjimatkan, lagipun beliau yang bekerja sendiri sukar untuk memperoleh pinjaman bank bagi membina rumah.

Rumah seperti banglo

Tinjauan di sekitar Felda Kemahang 1, Felda Kemahang 2 dan Felda Kemahang 3 di Tanah Merah, yang mempunyai 1,200 peneroka mendapati kebanyakan rumah telah diperbesarkan sehingga ada yang kelihatan seperti ‘banglo’.

Ketua Peneroka Felda Kemahang 1, Shapie Ahmat, 64, berkata majoriti peneroka memerlukan rumah kedua dan keputusan kerajaan membenarkan lebih sebuah rumah dibina di dalam tapak yang sama adalah berita yang amat menggembirakan.

"Syarat sebelum ini, hanya sebuah rumah untuk satu lot (tapak) tetapi sekarang kerajaan telah meluluskan pembinaan rumah kedua dalam satu lot yang sama, kami menyambut baik kerana keperluan perumahan untuk generasi kedua amat mendesak," katanya.

Shapie berharap pihak Felda dapat memikirkan dana khusus untuk diberikan kepada generasi kedua yang sukar untuk mendapat pinjaman bank berikutan faktor pekerjaan mereka, untuk membina rumah.

Insentif perumahan adalah antara enam insentif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2017 di Putrajaya pada 23 Julai lepas.

Lima lagi insentif ialah pelupusan hutang penanaman semula, pelupusan baki pinjaman saham, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas.

-Bernama

Lihat Komen