malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ditanya kos cuti, menteri jawab dengan akta
ADS

PARLIMEN | Anggota Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar melahirkan kekecewaanya dengan jawapan diberi Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Ditanya mengenai percutian Datuk Seri Najib Razak dan rombongannya ke Indonesia dan Australia, Datuk Seri Azalina Othman Said sekadar memberi jawapan umum.

Kata Mafuz beliau mengharapkan Azalina mengemukakan jawapan dalam bentuk nilai ringgit Malaysia, dan bukannya menyatakan peruntukan akta.

“Cukup mengecewakan. Saya minta kos perbelanjaan perdana menteri dalam ringgit Malaysia, tapi tak dijelaskan sebaliknya (Azalina) hanya memberi penjelasan elaun perdana menteri dan timbalan perdana menteri mengikut peruntukan akta," katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.

Semasa sidang berlangsung apabila soalan itu dikemukakan Azalina hanya memberikan jawapan ringkas.

Kata Azalina, kerajaan hanya menanggung kos perbelanjaan melibatkan program atau lawatan rasmi saja, manakala elaun dan kelayakan lain bagi menteri, timbalan menteri, timbalan perdana menteri dan perdana menteri adalah seperti diperuntukkan mengikut Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

Najib dan rombongannya dilaporkan mendarat di Bali, Indonesia pada 27 Jun lalu dan dipercayai ke sana menggunakan pesawat kerajaan.

Media Indonesia melaporkan rombongan perdana menteri dan 23 yang lain itu disambut pegawai kanan Bali, termasuk gabenornya, Made Mangku Pastika.

Mereka kemudian dibawa ke tempat penginapan di Hotel St Regis di Nusa Dua.

Percutian di Bali itu berlangsung sehingga 30 Jun sebelum mereka terbang pula ke Perth, Australia.

Kata Mahfuz, beliau tidak faham mengapa kerajaan berahsia benar mengenai kos percutian berkenaan.

"Kami cuma nak tahu siapa anggota rombongan, jumlah kos percutian mewah di Perth dan Bali.

"Kalau isteri dia ikut, beritahulah, kalau anak ikut, beritahulah, sebab dia guna jet kerajaan.

“Ini soal wang rakyat. Kenapa kerajaan nak lindungi perkara ini? katanya.

Lihat Komen