Pemandu teksi digalak mendaftar aplikasi mudah alih telefon pintar atau 'e-hailing' bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.
Ketika ini hanya terdapat 14,000 pemandu teksi yang berdaftar di bawah 'e-hailing' .
"Antara cabaran mengalakkan pemandu teksi menggunakan teknologi 'e-hailing' ialah faktor pemandu yang tidak celik IT kerana faktor usia dan menganggap pemandu teksi menggunakan platfrom berkenaan sebagai saingan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan menggalakkan pemandu teksi menggunakan platform 'e-hailing' dalam memberikan perkhidmatan mereka.
Nancy berkata pemandu teksi seharusnya memanfaatkan penggunaan teknologi itu dalam mempertingkatkan kualiti perkhidmatan serta pendapatan, dan bukannya melihat ia sebagai saingan kepada kaedah operasi teksi konvensional.
Malaysia mencatat sejarah sebagai negara pertama menjadikan perkhidmatan 'e-hailing' seperti Grabcar dan Uber sebagai perkhidmatan pengangkutan awam yang sah di sisi undang-undang.
Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 diluluskan di Dewan Rakyat, minggu lalu.
Sementara itu, Nancy berkata pihak kerajaan juga sentiasa melakukan pendekatan dengan pemandu teksi termasuk usaha menerangkan kelebihan teknologi ‘e-hailing’ berkenaan.
Selain itu, katanya, kerajaan melaksanakan pelbagai program bagi menjamin kebajikan dan melancarkan Program Transformasi Industri Teksi (TITP) untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan teksi dan memastikan kebajikan pemandu teksi sentiasa terjamin.
"Pemberian geran RM5,000 kepada penerima lesen teksi individu adalah antara usaha agar pemandu teksi ini boleh keluar daripada terikat dengan sistem pajak dengan syarikat teksi yang kita dapati kebanyakannya berat sebelah dan tidak menyebelahi pemandu teksi," katanya.
-Bernama