malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hadi: PAS takkan mati
Diterbitkan:  Aug 2, 2017 11:38 AM
Dikemaskini: 3:50 AM
ADS

Ketika sesetengah pihak melihat PAS bakal terpinggir dan kian diketepikan dengan pendekatan politik mereka ketika ini, presiden parti itu pula berpendapat sebaliknya.

Kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu "tidak akan mati" selagi ia "bersama Islam."

Pada masa sama, anggota parlimen Marang itu menyatakan pelbagai parti lain yang muncul daripada serpihan PAS sudah "ditimbus ke liang lahad" atau seperti nyawa-nyawa ikan yang ketiadaan air.

Dalam kenyataannya hari ini Abdul Hadi juga menyatakan PAS memperjuangkan Islam yang tidak disembunyikan, dan tetap teguh bersama asar itu.

Abdul Hadi menegaskan, seseorang yang terlibat dalam politik Islam mestilah mempelajari ilmunya dan bukan seperti penjual ubat yang sekadar mahu melariskan barangannya atau mengumpul pelanggan seramai mungkin untuk faedah dunia yang sementara.

"Politik Islam juga tidak boleh dimain (seperti) catur untuk mencapai matlamat menghalalkan segala cara dan meletakkan Islam sekadar menjadi alat sahaja.

"Politik Islam bertunjangkan ubudiah kepada Allah, memikul amanah dengan melaksanakan syariat dan berwawasan akhirat, menyelamatkan seberapa ramai manusia dengan petunjuk Allah dan berpaksikan hidayah bukan jibayah (bermatlamatkan kebendaan dan dunia saja)," katanya.

Mesti teguh beristiqamah

Justeru, kata bekas menteri besar Terengganu selama satu penggal itu, PAS tidak mungin dicatur oleh pencatur politik dan dijaja oleh ahli politik penjual ubat.

PAS kini menjuarai gerakan Politik Matang dan Sejahtera bersama kumpulan digelar mereka sebagai "blok ketiga" bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia diketuai bekas pemimpin Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang dijangka diadakan tidak lama lagi, PAS masih kekal dengan keyakinan akan memberi kesan besar dalam politik dan menyasarkan untuk menguasai empat negeri serta 40 kerusi parlimen.

Pemimpin PAS juga juga percaya dengan strategi yang dirangka mereka, parti berkenaan bakal menjadi penentu (kingmaker) kepada pembentukan kerajaan selepas PRU ke-14 nanti.

Pada masa sama, Parti Amanah Negara (AMANAH) yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin PAS sedang bekerjasama dengan parti pembangkang lain dalam Pakatan Harapan.

Salah satu komponen HARAPAN ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang diketuai ramai bekas pemimpin Umno, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebahagian pemimpin PAS menyasarkan serangan mereka kepada bekas perdana menteri itu sama ada secara langsung atau tidak, manakala AMANAH pula didakwa menjadi alat atau kuda tunggangan DAP - satu lagi parti musuh ketat PAS.

Menurut Abdul Hadi, amalan politik matang dan sejahtera terhadap kawan dan lawan sudah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW suatu ketika dulu.

"(Baginda) beristiqamah menghadapi rebah dan bangun, pasang dan surut (perjuangan) walaupun memakan masa untuk kejayaan yang dijanjikan oleh Allah, sehingga menguasai dunia yang luas selepas kewafatan baginda, bukan semasa hayatnya," kata Abdul Hadi.

Menurut beliau, masih banyak pendekatan politik Islam yang ditulis oleh para ulama dalam kitab mereka, selain pendekatan tersirat di dalam mukjizat ilmu al-Quran serta kebijaksanaan sunnah nabawi.

"Namun kita mesti teguh dan beritiqamah bersama hidayah dan tidak jumud dengan pendekatan usang tanpa bijaksana dalam menangani perubahan," katanya.

Lihat Komen