Ketua Pembangkang Datuk Fadzil Noor mendakwa Speaker Dewan Rakyat membuat keputusan berdasarkan kepentingan kerajaan sahaja dan wakil-wakil pembangkang dinafikan hak menyuarakan pandangan.
"Memang, nampaknya speaker tidak lagi liberal (terbuka), (tidak lagi) rasional," katanya di luar dewan setelah usul tergempar yang dikemukakannya ditolak pagi tadi.
Usul itu bagi mengecam tindakan polis yang menghalang ceramah-ceramah politik dan menangkap orang ramai dengan menggunakan kekerasan seperti menembak dengan gas pemedih mata, dan mengerahkan anggota pencegah rusuhan FRU serta pasukan gerak khas.
Ia telah ditolak di bilik speaker sebelum sempat dibaca dalam sidang dewan.
"Alasan (speaker) masih boleh dipertikaikan, (penolakan usul ini) menyekat kebebasan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk melaporkan perkembangan-perkembangan (dan) ketidakadilan yang berlaku dalam negara," kata Fadzil (PAS-Pendang) lagi.
Ketika menjawab bantahan wakil-wakil pembangkang, Tun Mohamed Zahir Ismail berkata perkara yang dibawa oleh wakil Pendang itu tidak memenuhi syarat Perkara 18(1) Peraturan Mesyuarat atau usul yang tidak perlu disegerakan walau beliau bersetuju ia adalah perkara-perkara tertentu dan berkepentingan orang ramai.
Mohamed Zahir menyebut sebagai speaker, keputusannya itu "muktamad".
"Saya mendapat maklumat, ceramah yang dijalankan itu tidak mendapat kelulusan daripada polis. Oleh itu ceramah-ceramah itu (diadakan secara) haram," jelas Mohamed Zahir kepada sidang dewan.
Selepas sesi soal jawab lisan pagi tadi, Fadzil membantah keputusan speaker itu. Beliau tidak bersetuju dengan alasan-alasan tersebut yang dimaklumkan kepadanya secara bertulis.
Katanya, Mohamed Zahir sepatutnya mendengar pandangan kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang, sebelum membuat sebarang keputusan.
Sebelum itu wakil-wakil rakyat PAS Mahfuz Omar (Pokok Sena), Dr Hassan Ali (Parit Buntar) dan Dr Syed Azman Syed Nawawi (Kuala Terengganu) turut bangun membantah penolakan usul tersebut.
Fadzil mendakwa keputusan speaker itu "tidak demokratik" walau dianggap muktamad. "Segala syarat-syarat permit telah diberikan, permohanan tetap ditolak (oleh polis)," katanya lagi.
Fadzil menjelaskan permit ceramah di dalam kawasan markas parti-parti Barisan Alternatif juga ditolak. "Di mana sikap rasional, profesional pihak polis," soal Presiden PAS itu.
Malaysiakini semalam melaporkan polis sejak kebelakangan ini telah menolak permit ceramah politik tanpa memberikan sebarang alasan.
Malam tadi, seorang anggota Dewan Rakyat PAS Mohamad Sabu (Kuala Kedah) ditangkap ketika berceramah di Kuala Klawang, Negeri Sembilan mulai jam 10 dan dibebaskan 2 pagi tadi.
Turut ditahan aktivis-aktivis Pemuda PAS Mohd Hanif Selamat dan Pemuda Parti Keadilan Nasional Abdul Hafiz Mohd Ali.