malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
IPIC: 1MDB, MOF Inc ada masa 5 hari 'pulih' keadaan
Diterbitkan:  Aug 1, 2017 5:58 PM
Dikemaskini: 10:05 AM
ADS

1MDB dan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) mempunyai lima hari untuk "memulihkan" kegagalan membayar International Petroleum Investment Company PJSC (IPIC) dan anak syarikatnya Aabar Investments PJS (Aabar).

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Saham London hari ini, IPIC berkata perkara itu telah digariskan dalam penyelesaian antara syarikat itu dan 1MDB pada 11 Mei 2017.

"Di bawah penyelesaian itu, tempoh lima hari masa bekerja bagi MOF Inc dan 1MDB untuk memulihkan pembayaran sebelum mereka tertakluk kepada obligasi tambahan kepada IPIC dan Aabar," kata syarikat itu.

Syarikat itu berkata ia sepatutnya dibayar AS$ 602,725,000 (RM2.58 bilion) dan AS$ 26,024,509.59 (RM111 juta) menjelang 31 Julai.

Tidak jelas untuk apa bayaran AS$ 26,024,509.59 itu walaupun mungkin ia adalah bayaran faedah pada jumlah awal yang masih dihutang.

Terdahulu hari ini, 1MDB terlepas tarikh akhir bayaran yang tamat pada tengah malam, waktu New York, atau tengah hari waktu Malaysia.

IPIC sedang mendapatkan AS$ 6.5 bilion daripada 1MDB.

Kedua-dua firma tersebut mencapai penyelesaian sebelum proses timbang tara berlaku di London.

1MDB sepatutnya membayar AS$ 1.2 bilion dalam dua pembayaran yang sama pada 31 Julai dan 31 Disember.

Firma itu mengakui bahawa ia tidak dapat memenuhi obligasi pembayarannya kerana dana yang sepatutnya diterima pada bulan Julai telah ditangguhkan hingga Ogos.

IPIC adalah penjamin untuk beberapa bon yang diterbitkan oleh 1MDB.

Berikutan kegagalan 1MDB untuk membuat pembayaran tertentu kepada IPIC, kedua-dua syarikat bersetuju untuk menjalani proses timbang tara di London. Bagaimanapun, penyelesaian dicapai lebih awal sebelum proses timbang tara.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata beliau yakin Malaysia akan memenangi kes itu jika dibawa ke timbang tara.

Lihat Komen