malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahid 'tembak' Mahathir dengan peluru kapur
ADS

Tindakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad dengan isu keturunan dianggap Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) sebagai "menembak dengan peluru kapur".

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata jika timbalan perdana menteri benar-benar mahu menyerang bekas perdana menteri itu, apa yang perlu digunakan ialah 'senjata kimia'.

"Saya menyifatkan serangan Ahmad Zahid ke atas Dr Mahathir sebagai serangan menggunakan peluru kapur.

"Kalau pun nak menyerang, dalam dunia politik sekarang ini saya rasa elok pastikan peluru yang nak digunakan itu senjata kimia.

"Jangan kamu tembak guna peluru kapur (sebab nanti) orang yang ditembak tak mati, orang yang menembak pula mati," kata Ibrahim dalam sidang media di ibu pejabat pertubuhan pendesak Melayu itu di Kuala Lumpur hari ini.

Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas ucapan Ahmad Zahid yang mendedahkan maklumat kad pengenalan Dr Mahathir yang juga Penasihat Parti Pribumi Malaysia (BERSATU).

Tak salah mohon maaf

Ahad lalu, Zahid mengungkit sejarah Dr Mahathir yang didakwanya berketurunan India dan menuduh bekas perdana menteri itu mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun dalam pentadbirannya.

Mengulas lanjut, Ibrahim atau lebih mesra dengan panggilan Tok Him berkata sebagai seorang pemimpin Ahmad Zahid tidak sepatutnya bertindak sedemikian.

Katanya, sesuai dengan kedudukannya Ahmad Zahid patut mempamerkan ciri-ciri seorang negarawan yang boleh dihormati.

"Seseorang yang sudah sampai ke tangga jawatan timbalan perdana menteri, perdana menteri, malah jawatan menteri sekali pun, mereka sepatutnya mempamerkan ciri-ciri negarawan.

"Pemimpin kerajaan atau parti sememangnya bertanggungjawab menjawab semua isu yang dibangkit oleh rakyat atau pembangkang," kata Tok Him.

Bagaimanapun Ibrahim berkata beliau percaya tindakan Ahmad Zahid itu berpunca daripada kegagalan dirinya mengawal emosi.

"Saya percaya Ahmad Zahid gagal mengawal emosinya sehingga menimbulkan isu yang membangkitkan isu yang menjadi kemarahan rakyat seluruh negara," katanya.

Kata bekas anggota parlimen Pasir Mas itu lagi, tidak ada salahnya jika Ahmad Zahid memohon maaf pada Dr Mahathir jika mahu membersihkan namanya.

Katanya, Ahmad Zahid sebagai pemimpin tertinggi dalam kerajaan perlu menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat terutamanya golongan muda.

"Tidak ada salahnya Zahid minta maaf dan tak ada ruginya minta maaf," kata Tok Him.

Lihat Komen