malaysiakini logo
story-image
ADS

Genap setahun mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini Datuk Dzulkifli Ahmad menarik nafas lega dan sangat bersyukur dengan apa yang dicapainya.

"Kebetulan hari ini genap satu tahun saya menjawat ketua pesuruhjaya SPRM.

"Saya (mula) menjawat jawatan ini pada 1 Ogos 2016, dan hari ini sudah genap setahun, and I still survive (saya masih bertahan), alhamdulillah," katanya di Bukit Bintang, Kuala Lumpur hari ini.

Dzulkifli menyampaikan ucapan di majlis bertemu orang ramai sempena majlis Sahabat Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah).

Beliau sebelum ini berkhidmat di Pejabat Peguam Negara dan dipercayai berperanan membantu membersihkan nama Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku dalam isu 1MDB serta dana asing bernilai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian perdana menteri.

Nama Dzulkifli kemudian disebut-sebut sebagai tokoh yang akan mengetuai SPRM selepas pesuruhjaya sedia ada ketika itu, Tan Sri Haji Abu Kassim bin Mohamed, bersara.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagaimanapun menafikannya.

Rasa begitu terharu

Pada 26 Januari 2016, ketika Apandi mengesahkan Najib tidak terlibat dalam sebarang salah laku jenayah, Dzulkifli ada dududk di sebelah peguam negara terbabit.

Kata Dzulkifli beliau bangga kerana keyakinan masyarakat kepada SPRM serta sokongan mereka terhadap institusi itu begitu meningkat.

Tambahan pula, katanya, SPRM melakukan beberapa operasi yang berjaya sehingga kini dan akan diteruskan sehingga masyarakat benar-benar gerun terbabit dalam rasuah atau salah guna kuasa.

"Kalau dibandingkan pada permulaan saya menjadi ketua pesuruhjaya dengan sekarang, keadaan - dari segi sokongan dan kepercayaan masyarakat kepada saya atau SPRM - sangat berbeza.

"Sebab ini saya kata, saya begitu terharu dengan kejayaan dan pencapaian setahun ini.

"Dan merata-rata saya dapat pandangan daripada ramai orang, rakyat keseluruhan mengatakan mereka gembira dengan pencapaian SPRM setakat ini," katanya.

Dzulkifli juga berkata menjadi hasrat SPRM menjadikan agensi kerajaan bebas daripada rasuah serta salah guna kuasa menjelang 2020.

"Insya-Allah kita akan berterusan (memerangi rasuah) sehingga kita mencapai matlamat diimpikan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen