malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ARMADA tuntut Zahid mohon maaf pada Mahathir
ADS

Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (ARMADA) mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat permohonan maaf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana "menghina" bekas perdana menteri itu.

Kata Ketua ARMADA Wilayah Persekutuan Zahin Zainal berkata selain membangkitkan sejarah keturunan, Ahmad Zahid juga tidak wajar menyebarkan maklumat palsu mengenai susur galur Dr Mahathir itu.

"Timbalan perdana menteri tergamak menuduh Dr Mahathir menggunakan orang Melayu untuk kepentingan peribadi," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Zahin sebelum itu mengetuai lebih 20 anggota ARMADA mengadakan perhimpunan di luar parlimen bagi mengecam Ahmad Zahid.

Timbalan perdana menteri itu kelmarin mendakwa Dr Mahathir adalah tokoh keturunan India dan mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun sepanjang tempoh pentadbiran sebagai perdana menteri.

Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri turut menunjukkan salinan kad pengenalan (IC) Dr Mahathir yang memaparkan namanya sebagai "Mahathir a/l Iskandar Kutty".

"Ini IC biru dia dulu. Nama dia Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. Nombor IC biru dia […] Ini yang dihantar oleh ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," katanya.

Bagaimanapun, semasa membuat kenyataan itu, Ahmad Zahid mendakwa kenyataan itu bukanlah serangan peribadi terhadap Dr Mahathir, sebaliknya menegaskan ia berlaku secara "kebetulan" kerana beliau adalah menteri dalam negeri ketika menerima maklumat berkenaan.

Dr Mahathir pernah berkhidmat perdana menteri dan presiden Umno sebelum kini bertukar arah dengan menggerakkan kempen menumbangkan BN bersama parti pembangkang lain.

Menurut Zahin, ARMADA juga mengemukakan lima tuntutan lain kepada Ahmad Zahid, termasuk meminta penjelasan bagaimana JPN boleh membocorkan maklumat sulit warganegara Malaysia, seperti yang berlaku pada Dr Mahathir.

ARMADA juga mencabar timbalan perdana menteri menyertai forum anjuran mereka, Nothing To Hide 2.0 yang dijadual berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, pada 13 Ogos ini.

Selain berkumpul kumpulan ARMADA yang mengadakan protes tadi turut membawa plakad gambar Zahid berserta pelbagai tulisan seperti "Muka kaki pembohong penfitnah, rasis, tolak Umno" dan "Zahid terdesak jatuhkan Najib, Umno bergolak".

Lihat Komen