malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SKMM siasat berita palsu mengenai SPRM, JANS
ADS

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan menyiasat tindakan pihak tidak bertangggungjawab menyebarkan berita palsu mengenai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa tiada unsur rasuah dalam kes Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata SPRM telah mengesahkan bahawa maklumat yang sedang tular itu adalah tidak benar.

Ketika dihubungi Bernama di Putrajaya hari ini, Salleh berkata mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu akan dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kerajaan memandang serius penyebaran berita-berita palsu di media sosial dan ingin mengingatkan para pengguna agar tidak menyebarkan sebarang berita yang belum ditentukan kesahihannya,”katanya.

Salleh berkata perbuatan sedemikian boleh mengelirukan orang ramai.

"Saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh atau mempercayai kandungan serta paparan dalam media sosial. Semak terlebih dahulu berita-berita berkenaan dengan sumber yang betul," katanya.

Semalam, SPRM membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook menggunakan nama 'Çikgu Aming’ yang memuat naik satu laporan portal kononnya SPRM mengesahkan tiada unsur rasuah dalam kes JANS.

Pemilik akaun Facebook berkenaan memuat naik laporan portal yang bertajuk 'SPRM sahkan skandal Jabatan Air Negeri Sabah tiada unsur rasuah'.

Pada 29 Disember lepas, tiga individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM61.48 juta selain memiliki secara salah barangan mewah dan sebutan semula kes tersebut ditetapkan pada 8 Ogos ini.

Ketiga-tiga tertuduh ialah bekas Pengarah JANS Ag Mohd Tahir Mohd Talib dan isterinya Fauziah Ag Piut serta penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah, Lim Lam Beng.

-Bernama

Lihat Komen