malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
JPN, Zahid boleh dianggap hina mahkamah - bekas hakim
ADS

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan timbalan perdana menteri boleh menghadapi tindakan undang-undang yang serius, termasuk dipenjara kerana kenyataan mereka berhubung keputusan mahkamah rayuan mengenai anak tidak sah taraf.

Bekas hakim mahkamah persekutuan, Tan Sri Gopal Sri Ram berkata, JPN dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh dianggap melakukan penghinaan terhadap mahkamah.

"Pendakwa boleh memohon mahkamah untuk menghukum mereka yang menyinggung dan menghina mahkamah. Jika penghinaan itu serius dan disengajakan, hukuman biasanya adalah hukuman penjara," kata Sri Ram kepada Malaysiakini.

Mahkamah rayuan pada Khamis lalu memutuskan bahawa seorang anak yang dilahirkan di luar nikah boleh dibin atau dibintikan dengan nama bapanya.

Mahkamah juga memutuskan bahawa fatwa mengenainya oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang.

JPN bagaimanapun berkata, pihaknya akan meneruskan penasaban anak tidak sah taraf orang Islam seperti “sedia ada” dan sebarang pindaan terhadap pelaksanaan hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan mahkamah persekutuan diperoleh.

"Penghakiman, dalam kes ini, telah dirayu, tetapi rayuan tidak menyebabkan penangguhan pelaksanaan. Jadi pihak yang menerima perintah itu wajib untuk mematuhinya.

"Kenyataan oleh JPN bahawa ia tidak akan mematuhi perintah mahkamah rayuan bukan sahaja salah kerana kedegilannya tetapi juga menghina mahkamah," kata Sri Ram.

Zahid, semalam berkata umat Islam mesti bersatu kerana tidak mahu keputusan yang dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan dicabar mana-mana pihak, sama ada dari 'individu atau sistem perundangan lain' 

"Jika pernyataan yang dikaitkan dengan timbalan perdana menteri itu adalah tepat, maka ia juga merupakan penghinaan yang serius terhadap mahkamah," kata Sri Ram.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen