malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

Majlis makan malam bagi mengumpul dana Pakatan Harapan (HARAPAN) menyaksikan lima potret dijual dengan harga RM16,700 dengan lukisan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencatatkan harga tertinggi pada harga RM4,900.

Lukisan pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu masing-masing dilelong dengan harga RM3,500, menjadikan ia harga kedua tertinggi.

Potret pemimpin ketua umum HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dijual pada harga RM3,000. Potret berkenaan mempunyai tandatangan anak perempuan sulungnya yang juga naib presiden PKR, Nurul Izzah.

Potret Presiden DAP, mendiang Karpal Singh yang ditandatangani anaknya yang juga Anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dijual pada harga RM1,800.

Lukisan Mahathir dibeli penyokong tegarnya, ketua BERSATU Parit Sulong Che Zakaria Mohd Salleh, yang mahukan hasil seni itu diletakkan di premis parti barunya.

"Semasa di sekolah saya dah minat Tun. Tahun 1986 saya join Umno, keluar parti kerana Tun.

"Ini adalah lukisan besar ketujuh Mahathir yang telah saya kumpulkan setakat ini, saya letakkannya di pejabat dan rumah," katanya yang juga menyimpan tujuh potret lain Mahathir sejak menjadi menteri pendidikan.

Lelongan yang memaparkan potret yang dilukis oleh artis tempatan, Chong Kean Foong pada kanvas berukuran 20x30 inci itu merupakan sebahagian daripada gimik pada majlis jamuan makan malam di Kuil Che Luan Khor, Kluang. 

Acara ini menarik kehadiran penyokong HARAPAN dan anggota parti komponen gabungan itu. Para hadirin terutamanya adalah penyokong DAP dan BERSATU yang rata-ratanya memakai kemeja merah.

Selain dana untuk HARAPAN, Anggota Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong berkata majlis makan malam itu bertujuan untuk membiasakan penduduk tempatan dengan empat parti di bawah HARAPAN.

"Anda boleh lihat logo HARAPAN yang digunakan sebagai latar belakang pentas kami, kira-kira 200 bendera HARAPAN dipasang berdekatan," katanya.

Dalam ucapannya, Liew, yang juga ketua DAP Johor berikrar mengekalkan kerusi parlimen Kluang dan kerusi DUN Mengkibol serta memenangi kerusi DUN Mahkota pada pilihan raya umum akan datang. Mengkibol dan Mahkota adalah kerusi DUN di kawasan parlimen Kluang.

Lihat Komen