malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahid ajak Muslim bersatu hadapi pencabar fatwa
ADS

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa umat Islam supaya bersatu bagi menghadapi mana-mana pihak yang mencabar Majlis Fatwa Kebangsaan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, sama ada cabaran itu datang daripada orang perseorangan atau sistem perundangan, umat Islam perlu bersama supaya agama itu dihormati.

"Dalam keadaan ini, kita - umat Islam - mesti bersatu untuk bersetuju agar agama Islam dihormati, dan kita tak mahu mana-mana keputusan dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan dicabar mana pihak, sama ada individu atau ada sistem perundangan lain yang membuat keputusan di luar keputusan Majlis Fatwa," katanya di majlis keraian anjuran masyarakat Malabari di Selayang, Selangor hari ini.

Kenyataan Ahmah Zahid itu dibuat dua hari selepas Mahkamah Rayuan memutuskan anak luar nikah boleh dibinkan dengan bapa kandungnya.

Mahkamah juga menyatakan fatwa mengenainya oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang menulis keputusan sebulat suara itu, berkata bidang kuasa ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara adalah sivil dan terbatas untuk menentukan sama ada si bapa telah memenuhi syarat-syarat Seksyen 13A (2) Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA).

Kata Ahmad Zahid, Jabatan Pendaftaran Negara tetap mematuhi ketetapan dibuat majlis fatwa.

Oleh sebab itu katanya kerajaan mengemukakan rayuan ke mahkamah lebih tinggi supaya keputusan pada 27 Julai itu dibatalkan.

'Menyesal' datang majlis

"Kita merayu semula kepada mahkamah lebih tinggi agar keputusan itu dibatalkan kerana anak-anak yang sah taraf sahaja dibolehkan dibinkan dengan bapa.

"Saya sebagai Menteri Dalam Negeri bersetuju dengan keputusan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran yang memohon supaya keputusan mahkamah itu dibuat rayuan," katanya.

Menurut Ahmad Zahid, walaupun begitu kerajaan tetap menghormati anak-anak yang dilahirkan tanpa nikah itu kerana mereka tidak terbabit dalam dosa berkenaan.

"Anak-anak dilahirkan seperti kain putih, ibu bapa yang mengcorakkan mereka dengan pelbagai warna.

"Kita tahu, hukum tetap hukum," katanya.

Pada 2003 Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan anak luar nikah tidak boleh dibinkan dengan bapa kandungnya jika dilahirkan kurang dari enam bulan selepas pernikahan.

Sementara itu Ahmad Zahid turut mengumumkan bantuan sebanyak RM1 juta daripada kerajaan untuk membina dewan masyarakat Malabari.

Secara berseloroh anggota parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau 'menyesal' menghadiri majlis berkenaan.

"Sebenarnya tuan-tuan dan puan-puan, saya menyesal datang majlis hari ini.

"Saya diberitahu saya akan makan percuma, rupa-rupanya diminta membantu pembinaan dewan ini.

"Dengan hati yang ikhlas saya ingin mengumumkan bahawa pihak kerajaan akan memberikan peruntukan sebanyak satu juta ringgit kepada pembangunan dewan berkenaan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen