malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemilik bot maut selepas ditembak di Besut
Diterbitkan:  Jul 28, 2017 6:20 AM
Dikemaskini: Jul 28, 2017 3:48 AM
ADS

Seorang lelaki warga emas maut selepas terkena dua tembakan dalam kejadian di Kampung Teluk Bayu, Besut malam tadi.

Mangsa, Daud @ Wan Ahmad Bin Wan Awang, 68, yang juga pemilik bot perikanan dipercayai keluar minum bersama rakannya pada pukul 5.30 petang di Gerai Dataran Kuala Besut, dengan menaiki kereta mangsa jenis Mercedes Benz.

Kira-kira pukul  7.30 malam ketika dalam perjalanan ke rumah setelah selesai minum, kereta mangsa  tiba-tiba dihampiri dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC berwarna merah di Simpang Tiga, Jalan Kampung Teluk Bayu,Kuala Besut.

Suspek dipercayai memakai helmet warna merah dan menutup muka dengan kain.

Dipercayai pembonceng motosikal berkenaan kemudiannya telah mengacukan pistol dan melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa menyebabkan rakan mangsa yang  ketakutan telah terjun keluar dari kereta tersebut.

Manakala  mangsa terus memandu kereta berkenaan sehingga terlanggar tiang elektrik di tempat kejadian.

Suspek melarikan diri sejurus kejadian manakala rakan mangsa menghubungi anak lelaki mangsa dan membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Kuala Besut namun disahkan telah meninggal dunia.

Pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa dapati terdapat dua kesan luka tembakan iaitu pada bahagian dada kanan dan bahu kanan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut di Jerteh untuk bedah siasat.

 Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu.

Katanya kes masih dalam siasatan dan polis juga sedang  giat memburu suspek.

- Bernama

Lihat Komen