malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tiada lagi bayaran tunai di LPT2 mulai 14 Ogos
ADS

Transaksi tol di semua 10 plaza tol di Lebuh raya Pantai Timur 2 (LPT 2) akan dikendalikan secara elektronik sepenuhnya mulai 12 tengah hari pada 14 Ogos depan.

Pengurus Besar LPT2 Sdn Bhd, Husni Md Yusuf berkata plaza tol yang terlibat adalah Plaza Tol Cheneh, Chukai , Kijal, Kerteh, Paka, Dungun, Bukit Besi, Ajil, Telemung dan Kuala Terengganu.

"Mulai 14 Ogos ini, orang ramai hanya boleh membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch 'n Go dan SmartTAG. tiada lagi transaksi tol secara tunai akan dikendalikan. Pelaksanaan ini serentak dengan inisiatif yang sama di Lebuh raya Pantai Timur 1 (LPT1).

"Kami telah bersedia juga dengan staf tambahan jika pengguna tol menghadapi masalah seperti ketiadaan kad di setiap lorong di plaza tol LPT ini kerana mungkin ada yang tidak tahu pelaksanaan inisiatif ini bagi mengelakkan sebarang masalah berlaku," katanya kepada pemberita pada sidang media di Kuala Terengganu hari ini.

Husni juga turut menggesa orang ramai supaya mendapatkan kad PLUSMiles atau Touch 'n Go dengan segera bagi menggelakkan kesulitan ketika transaksi di plaza tol apabila ia dilaksanakan kelak.

"Bagi mereka yang mungkin tidak mempunyai kad-kad elektronik tersebut, ia boleh diperoleh di kesemua lorong masuk plaza-plaza tol LPT 2. Dan bagi mereka yang tidak mempunyai kad elektronik, MyKad juga boleh digunakan dan cuma pastikan ada logo Touch 'n Go pada kad pengenalan kita itu.

"Setakat ini sudah ada 64 peratus pengguna yang embayar tol secara elektronik di LPT 2 dan jumlah tersebut datangnya daripada trafik luar dari Terengganuk, selebihnya trafik datang dari dalam Terengganu dan mereka ini yang kita fokuskan kerana masih ada yang gunakan secara manual," katanya.

Menurut Husni, transaksi menggunakan sistem elektronik secara amnya adalah sebanyak 300 peratus lebih pantas berbanding bayaran tunai. Sebuah lorong tunai (keluar) hanya mampu mengendalikan 180 kenderaan pada satu jam.

"Lorong Touch 'n Go berupaya mengendalikan sebanyak 600 kenderaan dalam tempoh yang sama. Lorong SmartTAG pula boleh mengendalikan kira-kira 1,000 kenderaan.

"Pelaksanaan transaksi elektronik ini secara tidak langsung mengurangkan kesesakan di plaza tol terutama di Plaza Tol Kuala Terengganu, Gemuruh dan baru-baru ini semasa Aidilfitri kesesakan mampu dikurangkan sehingga 73 peratus. Pada tahun terdahulu kesesakan trafik di plaza tol boleh mencecah tujuh hingga 10 kilometer panjang, mungkin juga telah wujud kesedaran dalam kalangan pengguna menggunakan kad elektronik

Tambah beliau, dengan pelaksanaan tersebut dianggarkan mampu mengurangkan sebanyak 90 peratus kesesakan di plaza tol dan lebihan tersebut hanyalah masalah yang tidak dapat dielakkan seperti kad kekurangan baki atau, kad atau SmartTAG rosak.

- Bernama

Lihat Komen