malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kastam nafi hutang lebih RM36 juta dengan PBT S'ngor
Diterbitkan:  Jul 25, 2017 8:41 PM
Dikemaskini: 12:48 PM
ADS

Ketua Pengarah Jabatan Kastam, T Subromaniam hari ini menafikan tuduhan bahawa jabatan itu berhutang lebih RM36 juta pembayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor, seperti didakwa seorang ADUN DAP.

"Memang benar kita tidak bayar. Tetapi kami tidak bayar kerana penyata yang dikemukakan oleh pihak-pihak berkuasa tempatan ini adalah diragui," katanya pada sidang akhbar hari ini, seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today.

Pada 4 Julai lalu, ADUN Balakong, Eddie Ng Tien Chee mendakwa kerajaan persekutuan berhutang lebih RM36 juta kepada PBT di Selangor sejak Jun 2016.

Menurut Ng, jumlah itu merangkumi pembayaran balik yang dibuat untuk kerja-kerja infrastruktur oleh PBT seperti menaiktaraf jalan raya dan kerja-kerja yang berkaitan dengan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Ng mengecam GST yang dikenakan ke atas PBT yang hanya memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

Sementara itu, Subromaniam memberi amaran berhubung penyata yang salah dihantar kepada jabatannya.

Di bawah Seksyen 88 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014, mereka yang didapati bersalah boleh didenda maksimum RM50,000, penjara selama tiga tahun, atau kedua-duanya.

"Nasihat saya kepada semua pihak berkuasa tempatan supaya memastikan penyata GST yang dihantar adalah betul. Jika tuntutan salah, bagaimana kami boleh bayar. Sebenarnya kita patut bawa mereka ke mahkamah," katanya.

Subromaniam bagaimanapun berkata tindakan mahkamah hanya merupakan piihan terakhir.

Di bawah adalah tuntutan bayaran semula GST oleh 12 PBT di Selangor.

1. Majlis Bandaraya Shah Alam  -RM5,994,802.68
2. Majlis Perbandaran Klang       -RM5,608,374.23
3. Majlis Perbandaran Kajang     -RM5,133,918.13
4. Majlis Perbandaran Ampang Jaya -RM5,007,221.75
5. Majlis Perbandaran Selayang -RM4,174,960.00
6. Majlis Bandaraya Petaling Jaya    -RM3,245,106,13
7. Majlis Perbandaran Subang Jaya - RM2,787,986.95
8. Majlis perbandaran Sepang     -RM2,172,596.17
9. Majlis Daerah Kuala Langat     -RM688,457.65
10. Majlis Daerah Hulu Selangor  - RM725,319.51
11. Majlis Daerah Sabak Bernam  -RM447,181.56,
12. Majlis Daerah Kuala Selangor -RM198,040,98

Lihat Komen