malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Ada peneroka berhutang hampir RM170,000'
Diterbitkan:  Jul 24, 2017 4:57 PM
Dikemaskini: 9:14 AM
ADS

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) kesal dengan penafian Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad berhubung jumlah sebenar hutang peneroka.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, selaku pengerusi Felda, Shahrir sepatutnya memperoleh gambaran tepat mengenai jumlah hutang seramai 94,956 peneroka yang masih bersama agensi itu.

"Isu timbunan hutang peneroka adalah sesuatu yang diketahui umum.

"Jumlahnya bukan sahaja mencecah RM100,000 seperti disebut mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir di Kota Tinggi pada 15 julai lalu, bahkan ANAK boleh buktikan di sesetengah Felda menghampiri RM170,000," katanya dalam kenyataan media.

Shahrir baru-baru ini dilapor menafikan kenyataan Pengerusi Parti Peribumi Bersatu (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa ramai peneroka menanggung hutang lebih RM100,000 seorang.

“Itu tidak benar, sudah dijawab di Parlimen (jumlah hutang keseluruhan peneroka) RM5.1 bilion.

“Jika pemimpin utama bercakap pun tak betul, bagaimana anda nak meraih sokongan di Felda. Bagaimana anda kata berjuang untuk peneroka dan boleh (berkhidmat) dengan lebih baik tetapi tidak tahu situasinya?” soal Shahrir.

Mazlan bagaimanapun menafikan kenyataan Shahrir sambil menyatakan insentif yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak semalam tidak akan menyelesaikan sengsara peneroka Felda akibat beban hutang terlalu tinggi.

Antara insentif diumumkan Najib termasuk melupuskan hutang bernilai RM5,000 setiap peneroka dan dana khas pelupusan lebihan hutang tanam semula berjumlah RM300 juta bagi tempoh lima tahun antara 2017 hingga 2021.

"Adakah Shahrir maklum, kes yang diadukan kepada saya beserta penyata yang dilampirkan, ada peneroka yang terpaksa menanggung kos faedah atas pinjaman sahaja bernilai RM47,000.

"Apabila hutangnya besar, tempoh membayar balik memakan masa hingga 20 tahun," kata Mazlan.

'Jangan dikriminasi peneroka'

Mazlan berkata, selagi isu hutang peneroka tidak diselesaikan, gesaan agar kira-kira 17,000 peneroka kembali bersama Felda dalam tempoh enam bulan ini tidak akan berkesan.

Pada masa ini, terdapat seramai 17,679 peneroka mengusahakan ladang mereka secara bersendirian tanpa dikawal dan berhutang dengan Felda.

"Jika mereka bebas daripada hutang dan beroleh pendapatan lebih baik, apa alasan untuk mereka bersama Felda?

"Seharusnya, kerajaan berterima kasih kepada 17,000 orang peneroka ini yang hakikatnya memenuhi hasrat dan dasar Felda ditubuhkan.

"Tindakan mengasingkan mereka dan dinafikan daripada mendapat sebarang insentif adalah suatu diskriminasi dan tindakan kejam yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hak asasi yang dijamin perlembagaan persekutuan," katanya.

Lihat Komen