malaysiakini logo
story-image
ADS

Tidak berminat dalam politik - itu penegasan dibuat bos Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad menjawab kritikan yang dilemparkan kepadanya.

Ketua pesuruhjaya SPRM itu menjelaskan sebagai penjawat awam, beliau mempunyai tugas dan tanggungjawab seperti yang diamanahkan kepadanya.

Dalam usaha melaksanakan tugas pencegahan rasuah dan salah guna kuasa, katanya, SPRM memerlukan sokongan masyarakat secara menyeluruh.

Justeru, kata Dzulkifli, beliau perlu bertemu dengan masyarakat dan menjalankan kempen di sana-sini untuk memastikan kefahaman mereka.

"Kalau itu dikatakan (mahu menjadi) selebriti, nak buat macam mana?" katanya kepada Malaysiakini.

Pada 16 Julai lalu Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan sama ada Dzulkifli Ahmad ingin menjadi ahli politik atau selebriti.

Berani tolak rasuah

Ini kerana, kata Saifuddin, pendekatan yang dilakukan Dzulkifli berkaitan Ikrar Bebas Rasuah dilihat hanya untuk mendapat perhatian media.

Malah, Saifuddin turut mempersoalkan kritikan Dzulkifli terhadap Pulau Pinang dengan meminta beliau mengemukakan bukti yang menunjukkan dengan berikrar, isu rasuah dapat diselesaikan.

“Inisiatif angkat ikrar sahaja yg di buat Ketua Pesuruhjaya SPRM sekarang ini menunjukkan kedangkalan fikiran dan kurangnya kreativiti sedangkan SPRM sebelum ini mempunyai inisiatif pencegahan yang lebih sofistikated.

“Institut Integriti Malaysia (IIM) misalnya dilihat mempunyai inisiatif dan instrumen yang jauh lebih berkesan dalam konteks pemupukan dan pembudayaan integriti berbanding usaha Ketua Pesuruhjaya SPRM yang nampak gayanya seperti ahli politik atau selebriti yang tidak lebih hanya untuk mendapat perhatian daripada pihak media sahaja.

“Yang negara perlukan ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM yang efektif dan substantif bukannya seorang selebriti,” kata Saifuddin dalam kenyataannya.

Kata Dzulkifli SPRM berusaha melahirkan masyarakat yang berani menolak rasuah.

Justeru, pelbagai langkah diatur bagi mencapai matlamat berkenaan.

"Beritahu Saifuddin, jangan takut, saya tak berminat dalam politik," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen