malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sejarah kelam aset berharga untuk dikenang
Diterbitkan:  Jul 23, 2017 10:05 AM
Dikemaskini: 2:38 AM
ADS

Masa lalu tidak boleh dilupakan, kerana sejarah adalah guru kehidupan, kata Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Menurut menteri komunikasi dan multimedia itu, melupakan sejarah samalah seperti membuang aset berharga negara ketika ia adalah rujukan penting untuk generasi akan datang.

"Jika kita tidak mahu melihat politik masa lalu, bagaimanakah kita mahu menjadikan pengalaman lepas untuk memandang masa depan yang lebih baik?" kata Salleh dalam catatan terbaru blog beliau semalam.

Bekas ketua menteri Sabah itu mencatat sebagai mengulas kenyataan bekas presiden partinya Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa supaya semua piha melihat masa depan dan melupakan politik lalu, baru-baru ini.

Dr Mahathir berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di majlis ceramah Pakatan Harapan baru-baru ini.

Untuk rekod, Salleh menjadi ketua menter Sabah antara Disember 1994 hingga Mei 1996 selepas dicalonkan Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri ketika itu.

Kata Salleh politik masa lalu perlu diingati kerana pernah berlaku kesilapan dan ia harus diperbetulkan.

Antara isu yang disentuh Salleh ialah skandal kewangan Bumiputra Malaysia Finance (BMF), tragedi Memali, Operasi Lalang, skandal dagangan mata wang asing, penswastaan Penerbangan Malaysia (MAS), krisis kewangan 1997, kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas.

"Apakah kita boleh melupakannya begitu sahaja?

"Tentunya tidak, kerana politik masa lalu yang kelam itu tetap berharga untuk kita kenang dan ingat sebagai panduan untuk kita menjadi lebih bijaksana meniti masa depan," katanya.

Menurut Salleh belajar daripada apa yang berlaku pada masa silam membolehkan seseorang melangkah maju pada masa depan, sekali gus mengelak kemungkinan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan.

Memetik kata-kata penulis silam George Santayana Salleh berkata seseorang yang tidak belajar daripada sejarah akan ditakdirkan mengulangi kesilapan lalu.

Lihat Komen