malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
FGV nafi dakwaan JASA wujud konspirasi terhadap CEO
Diterbitkan:  Jul 22, 2017 9:11 PM
Dikemaskini: 1:22 PM
ADS

Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menafikan dakwaan wujud konspirasi terhadap presiden dan ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad, yang diminta bercuti pada bulan Jun.

Penafian itu adalah sebagai respons kepada kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Mohd Puad Zarkashi, yang pada Ahad lalu mendakwa terdapat usaha untuk menyalahkan Zakaria Arshad dan memaksa peletakan jawatannya.

"Sebagai sebuah syarikat senaraian awam dan juga syarikat berkaitan kerajaan yang termaktub dengan undang-undang yang berkaitan oleh badan kawal selia seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia, FGV sama sekali tidak terlibat dengan mana-mana konspirasi atau agenda peribadi dalam menjalankan proses siasatan dalaman (terhadap Zakaria dan tiga pegawai kanan lain).

"Siasatan dalaman ini dianggap tanggungjawab fidusiari Lembaga Pengarah dalam menjalankan tanggungjawab prihatin dalam pengurusan sebuah syarikat penyenaraian awam dan juga kepentingan pemegang saham," kata FGV dalam satu kenyataan hari ini.

FGV juga menegaskan Zakaria dan tiga lagi kakitangan pengurusan kanan diminta bercuti dengan bergaji penuh dan menerima semua kemudahan.

Katanya, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada 19 Jun 2017, terdapat beberapa bukti asas yang membolehkan Lembaga FGV mengambil tindakan disiplin terhadap CEO, ketua pegawai kewangan dan dua lagi pegawai kanan yang berkaitan dengan pelanggaran prosedur dalaman

Ini berkaitan dengan dakwaan pelanggaran prosedur dalam urusan FGV dengan Safitex Trading LLC yang berpangkalan di Dubai.

"Tuduhan menyatakan bahawa lembaga pengarah mempunyai agenda peribadi untuk menjatuhkan pengurusan kanan adalah tidak wajar.

"Jika tuduhan-tuduhan ini berterusan, ia dikhuatiri boleh menyebabkan focus FGV tergendala dari usahanya menambahbaikan operasi teras (core business), menjana nilai tambah dan melaksanakan tanggungjawab fidusiari Lembaga Pengarah kepada pemegang saham," katanya.

Krisis FGV tercetus selepas lembaga pengarah, yang diketuai oleh pengerusi FGV ketika itu, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, mengarahkan Zakaria bercuti kerana didakwa gagal mematuhi peraturan tadbir urus korporat.

Zakaria kemudiannya menuduh lembaga pengarah cuba membuat urusan pelaburan yang "tidak masuk akal", tetapi telah dinafikan oleh lembaga tersebut.

Perdana Menteri Najib Abdul Razak kemudiannya menugaskan bekas menteri, Datuk Idris Jala untuk menyiasat kemelut itu, yang berakhir dengan pertyjarab Mohd Isa ke Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Zakaria menghadapi prosiding tatatertib.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen