malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Shahrir harap kes beli hotel di London selesai segera
Diterbitkan:  Jul 22, 2017 6:14 PM
Dikemaskini: 10:17 AM
ADS

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Shahrir Abdul Samad berharap maklumat baharu yang diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menyelesaikan kes pembelian sebuah hotel di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Katanya isu itu perlu diselesaikan segera bagi membantu mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada Felda selain memantapkan ketelusan tadbir urus korporat syarikat.

"Apabila kita diberitahu SPRM mendapat maklumat baharu, kita sambut baik berita itu dan sangat gembira. Ada maklumat baharu dan SPRM teruskan penyiasatan, kita berharap ada penyelesaian dan mengambil tindakan ke atas pihak bertanggungjawab.

"Soal kembalikan wang yang disalah belanja itu adalah soal lain. Kita beri kerjasama sepenuhnya untuk siasatan SPRM," katanya kepada pemberita, di Putrajaya hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai penahanan dua pegawai pengurusan kanan syarikat berasingan yang kini direman enam hari bagi membantu kes pembelian hotel empat bintang itu.

Kedua-dua lelaki berumur 36 dan 45 tahun itu yang merupakan ketua unit harta sebuah syarikat perkhidmatan pos dan pengarah sebuah syarikat perundingan aset disyaki terbabit dalam penilaian harta dan harga bagi pembelian hotel berkenaan.

Mereka ditahan di ibu pejabat SPRM di sini kira-kira 1 tengah hari semalam selepas hadir memberi keterangan mengenai pembelian hartanah itu antara 2013 dan 2015.

Media melaporkan pasukan penyiasat SPRM mendapati kedua-dua suspek disyaki memanipulasi harga hotel berkenaan sehingga FIC membayar lebihan puluhan jutaan ringgit.

Terdahulu Shahrir mengadakan Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) aspirasi warga Felda di Sambutan Ekspresi Felda Negaraku Malaysia sempena Hari Peneroka 2017 yang berlangsung sejak semalam sehingga esok di Dataran Putrajaya, Presint 3, di sini.

-Bernama

Lihat Komen