malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KJ: 5 ciri buat pemimpin Umno menang PRU14
ADS

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggariskan lima ciri termasuk kemampuan meraikan rakyat jika pemimpin parti itu ingin memenangi hati pengundi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Katanya selain itu seorang pemimpin Umno juga perlu berintegriti dan amanah; cekap; prihatin dan peduli rakyat; dan menepati janji.

"Ciri-ciri itu penting kerana rakyat yang akan menentukan kemenangan dalam PRU ke-14," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Taiping di Dewan Sekolah Sains Raja Tun Azlan Shah, di Taiping hari ini.

Khairi yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata Umno adalah parti yang memperjuangkan nasib bangsa Melayu namun tidak menyingkirkan kaum lain sehingga membolehkan rakyat pelbagai kaum menikmati bersama hasil kemajuan negara.

Dalam sidang media kemudiannya Khairy berkata jentera Umno di semua peringkat semakin mantap dalam membuat persiapan untuk menghadapi PRU-14.

"Jentera di peringkat cawangan dan Pusat Daerah Mengundi sudah digerakkan di seluruh negara dan tahap kesiapsiagaan kita kini meningkat dalam beberapa bulan sehingga PRU ke-14," katanya.

Mengenai Pakatan Harapan, Khairy berkata gabungan itu akan mempunyai masalah untuk menentukan calon perdana menteri jika mereka berkuasa kerana lazimnya ia ditentukan oleh parti yang memenangi paling banyak kerusi.

"Walaupun diumumkan dalam Pakatan Harapan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum, Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi) dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden) tetapi yang banyak mempunyai kerusi sudah tentu DAP.

"DAP yang akan mempengaruhi untuk melantik siapa perdana menteri. Ini yang berlaku di Perak selama 11 bulan apabila pembangkang memerintah," katanya.

-Bernama

Lihat Komen