malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan sedia betulkan kesilapan, kata Ku Nan
ADS

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kerajaan hari ini sedia memperbaiki segala kesilapan yang dilakukan kerajaan.

"Kami bukan parti yang sempurna. Kami tidak maksum, kita bukan orang yang sempurna.

"Jadi, apa jua yang kita buat kesilapan, kita bersedia untuk membetulkannya, seperti apa yang sedang kita lakukan hari ini (pelancaran rumah mampu milik),"tegas Tengku Adnan.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis pelancaran dan sesi pengundian unit Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) Residensi Platinum Spender, Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan yang juga setiausaha agung Umno berkata beliau juga sudah kehabisan idea dalam membantu warga Wilayah Persekutuan.

Menurut Tengku Adnan, pihaknya sudah melakukan pelbagai program dan cara namun masih belum dapat memenuhi kehendak rakyat hari ini.

"Saya tak tahu apa lagi yang saya boleh buat untuk warga Wilayah Persekutuan.

"Kita bantu tuan-tuan dan puan-puan dengan bermacam-macam cara, kita telah bantu saudara-saudara sekalian.

"Kadangkala saudara lupa dengan bantuan yang telah kerajaan sediakan. Saya hanya minta tuan dan puan kekal bersatu," kata Tengku Adnan.

Oleh demikian, Ku Nan menyeru semua pihak agar ingat jasa kerajaan BN.

"Kita telah lakukan pelbagai program yang saya nak rayu kepada sekelian tolonglah, tolong bantu kami," tambah Tengku Adnan.

Mengulas mengenai pelancaran RUMAWIP hari ini, Tengku Adnan berkata pihaknya akan mengguna pakai skim pinjaman kerajaan bagi 300 penduduk kawasan setinggan masyarakat India di tapak perumahan Rumawip Residensi Pandanmas di Kampung Pandan, kepada kaum Cina dan Melayu.

"Kita sedar masyarakat Melayu dan Cina berhadapan masalah sama, jadi saya sedang berbincang dengan perdana menteri kalau boleh dibuat cara yang sama (seperti penduduk bekas setinggan Kampung Pandan) untuk mereka," katanya lagi.
 

Lihat Komen