Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mempertahankan keputusannya untuk memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri pada tahun 1998.
Bekas perdana menteri itu berkata beliau "bertindak mengikut situasi ketika itu" walaupun dirakamkan pernah berkata bakal penggantinya ketika itu dari segi moral tidak layak memimpin negara.
Walau bagaimanapun, Mahathir hari ini berkata, beliau tidak mahu terheret dengan kisah lampau.
"Sekarang berbeza, jika kita terus membawa kisah silam, kita tidak boleh bekerja dengan semua orang.
"Kamu akan terus berlawan dengan musuh kamu selama-lamanya dan ini adalah buruk," katanya dalam sesi Facebook secara langsung.
Beliau menjawap soalan daripada pengerusi Kumpulan Multimedia Thailand, Suthichai Yoon yang menyoal sama ada beliau menyesal memperlakukan Anwar seperti yang dilakukannya.
Anwar mendakwa Mahathir merekayasa dakwaan dirinya meliwat serta pertuduhan salah guna kuasa, yang dinafikan oleh bekas perdana menteri itu.
Kedua-dua pemimpin itu sedang cuba melupakan kisah hitam silam itu dan sedang berusaha menjalin kerjasama politik baru.
Bagi Mahathir, Anwar hari ini "agak berkebolehan menjadi perdana menteri" dan menegaskan bahawa dirinya tidak akan menghalangnya daripada berlaku.
"Jika rakyat mahukannya, siapa saya mahu menghalangnya?" soalnya.
"Tetapi sudah tentu perdana menteri masa depan Malaysia tidak akan begitu berkuasa seperti sekarang," katanya.
Pakatan Harapan mengumumkan akan memperkenalkan tempoh dua penggal bagi jawatan perdana menteri sekiranya mereka berkuasa.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun untuk satu lagi kesalahan meliwat, yang juga didakwanya direkayasa oleh seteru politiknya. Pihak berkuasa turut menafikan dakwaan berkenaan.
Hujung minggu lalu, Perdana Mininister Datuk Seri Najib Razak menuntut Mahathir menjelaskan sama ada beliau masih berdiri teguh dengan kenyataannya mengenai Anwar pada masa lalu.
“Banyak persoalan berlegar dalam kepala orang ramai. Pertamanya, adakah Dr Mahathir masih kekal dengan kenyataan lamanya pada 1998 yang dia tuduh Anwar melakukan perbuatan luar tabii.
"Sehinggakan dia kata Anwar ini pemimpin yang tidak ada maruah, oleh itu tidak boleh memimpin negara.
"Semua itu kini menjadi persoalan besar rakyat, sama ada tuduhan itu tidak betul pada asalnya, ataupun beliau sanggup korbankan prinsip lamanya (demi politik)," kata Najib.
Mahathir minggu lalu, diumumkan sebagai pengerusi Pakatan Harapan manakala Anwar pula dilantik sebagai ketua umum gabungan pembangkang berkenaan.